SERANGAN siber menerusi pelbagai platform.
SERANGAN siber menerusi pelbagai platform.
Muhammad Saufi Hassan

SERANGAN siber menerusi pelbagai platform bukan perkara baharu terutama apabila sistem jaringan telekomunikasi semakin maju dengan capaian Internet berkelajuan tinggi.

Terkini, dunia dikejutkan dengan serangan siber dikenali sebagai ‘Operation ShadowHammer’ yang menyasarkan kepada rantaian bekalan membabitkan jutaan pengguna di seluruh dunia.

Serangan itu dipercayai sangat canggih dan menyasarkan kepada perisian tertentu dan kod rahsia akan dimasukkan kepada peranti pengguna tanpa sedar.

Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services Sdn Bhd (LGMS), Fong Choong Fook (gambar) berkata, kebanyakan serangan siber ini mempunyai tujuan tertentu termasuk serangan Operation ShadowHammer ini.

PENGARAH dan Pengasas LE Global Sdn Bhd (LGMS), Fong Choong Fook.
PENGARAH dan Pengasas LE Global Sdn Bhd (LGMS), Fong Choong Fook.

Menurutnya, serangan ini akan memasukkan perisian berniat jahat (malware) atau Trojan ke dalam peranti pengguna dan membenarkan penyerang untuk mengakses sistem mangsa tanpa memerlukan keizinan pengguna.

“Serangan ini bermula antara Jun hingga November tahun lalu dan kita percaya ia masih berlaku cuma mungkin kadar terjadinya serangan bentuk ini sudah berkurangan.

“Berdasarkan maklumat saya, siasatan penuh berhubung serangan siber ini masih dilaksanakan dan tiada anggaran nilai kerosakan atau kehilangan dikeluarkan,” katanya.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat keselamatan siber berkata, berdasarkan laman web SecureList menyenaraikan pengguna di Russia paling ramai iaitu 18 peratus diikuti pengguna di Jerman (16 peratus).

“Pengguna di Perancis pula yang terjejas dengan serangan ini seramai 13 peratus, Itali (tujuh peratus) dan Amerika Syarikat (AS) lima peratus.

“Selain itu, kita tidak mendapat angka jelas berhubung pengguna di Malaysia yang terjejas menerusi serangan ini namun kami percaya angkanya tidak begitu banyak berbanding negara lain,” katanya.

Fong berkata, serangan siber seperti ini sememangnya kerap berlaku dan pengguna perlu lebih berwaspada terutama ketika penggunaan gajet sudah menyerupai peranti lain seperti laptop.

CARTA serangan siber ketika Operation ShadowHammer.
CARTA serangan siber ketika Operation ShadowHammer.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan tidak melayari sebarang laman web meragukan atau memuat turun sebarang fail yang pelik kerana ia dibimbangi mempunyai malware ataupun Trojan.

“Kaedah terbaik adalah sentiasa mengamalkan penggunaan Internet selamat selain memasang penyahvirus (antivirus) dalam komputer sebagai langkah berjaga-jaga.

“Serangan siber yang paling teruk direkodkan adalah 'WannaCry' dan serangan itu boleh disifatkan sebagai epidermik kerana menyerang 200,000 komputer di 150 negara berbeza.

“Serangan itu turut menyasarkan beberapa jaringan penting seperti hospital, kelengkapan perubatan dan kilang yang terpaksa memberhentikan operasi untuk sementara waktu,” katanya.

Katanya, serangan itu berlangsung selama empat hari namun nilai kerosakan sangat tinggi dan ia antara serangan paling buruk dalam sejarah sistem keselamatan siber dunia.

ANCAMAN siber perlu dilihat dengan lebih prihatin.
ANCAMAN siber perlu dilihat dengan lebih prihatin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:04 PM