PAKAR Keselamatan Siber, Fong Choong Fook memberi penerangan mengenai kemungkinan serangan siber sepanjang 2020.
PAKAR Keselamatan Siber, Fong Choong Fook memberi penerangan mengenai kemungkinan serangan siber sepanjang 2020.
Muhammad Saufi Hassan


SEMUA negara khususnya di rantau Asia Tenggara akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi paling maju iaitu 5G termasuk integrasi kehidupan digital yang lebih merangkumi kepada kepenggunaan menerusi Internet Kebendaan (IoT).

Pada tahun lalu, landskap keselamatan siber secara global melihat kepada wujudnya ketirisan data dalam jumlah kes yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya dan ‘trend’ berhubung kebocoran maklumat peribadi pengguna akan terus meningkat pada tahun ini.

Selain itu, perkhidmatan sistem penyimpanan maklumat awanan juga akan terdedah dengan risiko sama apabila lebih ramai pengguna mula melakukan migrasi kepada perkhidmatan itu.

Penyedia sistem storan maklumat maya berkenaan perlu lebih cermat serta prihatin untuk mengelakkan ketirisan maklumat pengguna sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Pakar Keselamatan Siber Fong Choong Fook berkata, ancaman keselamatan siber tidak statik untuk trend atau modus operandi tertentu saja sebaliknya ia merangkumi pelbagai sektor dan kaedah ancaman itu sering berubah-ubah.

“Jika kita menyentuh soal serangan siber, ia berlaku dalam keadaan maya dan tidak mempunyai rupa fizikal yang khusus seperti serangan penjenayah terhadap sesuatu infrastruktur.

“Kebanyakan serangan siber ini sering berubah-ubah mengikut arus teknologi semasa dan berdasarkan kepada tahap kepekaan sesebuah organisasi pembekalan perkhidmatan keselamatan siber kepada satu segmen tertentu.

“Apa yang jelas saya melihat bahawa serangan siber sepanjang 2020 ini akan lebih fokus kepada IoT memandangkan kebanyakan pengguna sudah memulakan migrasi kehidupan digital mereka dengan perkakasan itu,” katanya.

LANDSKAP keselamatan siber secara global melihat kepada wujudnya ketirisan data dalam jumlah kes yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
LANDSKAP keselamatan siber secara global melihat kepada wujudnya ketirisan data dalam jumlah kes yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) iaitu firma keselamatan siber menjelaskan bahawa infrastruktur bersifat kritikal untuk negara turut terdedah dengan ancaman ini.

Katanya, wujud juga kemungkinan peningkatan serangan berunsur ‘Ransomware’ kepada data kritikal pengguna yang mana penggodam akan memanipulasi maklumat berkenaan untuk memperoleh ‘wang tebusan’ secara digital.

“Selain itu, 2020 bakal memperlihatkan peningkatan kecekapan dalam Kecerdasan Buatan (AI). Teknologi pintar ini tidak datang dengan faktor positif saja sebaliknya ia masih terdedah kepada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya menjangkakan video palsu yang memaparkan wajah seseorang atau dikenali sebagai ‘deepfake’ akan digunakan untuk tujuan tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau menasihati organisasi korporat atau infrastruktur kritikal supaya lebih mementingkan tahap keselamatan siber serta mewujudkan landskap selamat untuk pekerja mereka.

Katanya, kebocoran data sensitif tidak hanya tertumpu kepada penggodaman sistem maklumat awanan sebaliknya ada dalam kalangan pengguna yang lebih gemar menyimpan di dalam fail komputer mereka.

Menurutnya, kod amalan keselamatan siber juga harus dilihat daripada semasa ke semasa memandangkan modus operandi penggodam berubah mengikut arus teknologi dan sistem keselamatan semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 6:05 AM