BULI siber memberi tekanan kepada mangsa. FOTO hiasan
BULI siber memberi tekanan kepada mangsa. FOTO hiasan
Muhammad Saufi Hassan

KES buli ketika era moden ini tidak tertumpu kepada sentuhan fizikal saja malah ia membabitkan penderaan emosi kepada mangsa dan perkara itu boleh berlaku menerusi pelbagai platform.

Peningkatan capaian Internet membolehkan aplikasi laman sosial terus berkembang tidak mengira tempat dan keadaan itu sebenarnya membuka satu lagi sisi gelap kepada kemudahan berkenaan.

Mungkin selama ini semua pihak beranggapan laman sosial mudah untuk menghubungkan semua tetapi platform itu juga mampu menjadi senjata yang bahaya terutama membabitkan tekanan emosi.

Kemuncak zaman moden pada hari ini apabila semua individu mampu untuk memiliki telefon pintar dan memiliki laman sosial sendiri namun sisi gelap yang kurang mendapat perhatian adalah kes buli siber yang membimbangkan.

Walaupun angka berkenaan tidaklah signifikan, wujud beberapa kes membabitkan buli siber sehingga mengakibatkan mangsa mengalami tekanan emosi yang serius.

Sempena Hari Internet Selamat yang diadakan pada minggu lalu, semua pihak berperanan untuk menjadi pengguna Internet yang bertanggungjawab tanpa melemparkan sebarang kecaman sehingga mampu mengakibatkan pihak lain mengalami tekanan emosi.

Syarikat telekomunikasi seperti Digi antara badan korporat yang sentiasa melaksanakan kempen kesedaran kepada pelanggan dan masyarakat awam supaya kemudahan Internet tidak dijadikan medan buli alaf baru.

KEMPEN yang dilaksanakan oleh Digi untuk mendidik masyarakat tentang buli siber.
KEMPEN yang dilaksanakan oleh Digi untuk mendidik masyarakat tentang buli siber.

Ketua Bahagian Kelestarian Digi, Philip Ling berkata, syarikat itu sememangnya aktif melaksanakan kempen kesedaran berhubung buli siber termasuk mendidik masyarakat untuk menjadi pengguna Internet yang bertanggungjawab.

Menurutnya, kempen kesedaran berhubung buli siber ini sudah dimulakan sejak 2011 sehingga kini masih dilaksanakan kerana ia adalah proses yang berpanjangan.

“Sejak 2011 hingga sekarang, kita sudah mendidik lebih 650,000 kanak-kanak daripada lebih 7,000 sekolah seluruh negara dan menyasarkan angka satu juta menerusi kempen yang dilaksanakan.

“Kami juga melaksanakan pelbagai program mengkhususkan kanak-kanak, keluarga, guru dan masyarakat awam. Digi menerima maklum balas yang sangat positif menerusi kempen ini dan akan menambah baik pada setiap tahun.

“Menerusi kajian lapangan berkaitan kes buli siber yang dilaksanakan oleh Digi sendiri mendapati 20.5 peratus murid sekolah berdepan dengan kes buli siber,” katanya.

Philip berkata, 42.1 peratus pula mengenali individu yang membuli mereka di laman sosial dan dapatan itu agak mengejutkan kerana kanak-kanak sudah mula terkesan dengan kes buli siber ini.

Beliau berkata, nisbah kanak-kanak yang mengalami buli siber ini adalah satu kepada lima dan ia bukan sesuatu yang baik.

“Peratusan itu juga tidak jauh berbeza dengan soal selidik yang dilaksanakan pada 2013 apabila kita mendapati kini lebih ramai kanak-kanak yang sangat dekat dengan kemudahan Internet.

“Kita bimbang mangsa kes siber buli ini akan berdepan dengan tekanan emosi yang serius sehingga menjurus kepada gangguan mental. Perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu lebih prihatian terhadap anak dan sentiasa mengawasi mereka termasuk mengambil tahu akaun media sosial mereka.

Katanya, langkah pencegahan awal perlu diambil supaya masalah yang lebih serius dapat dicegah di peringkat awal terutama membabitkan kanak-kanak.

BULI siber mampu beri tekanan emosi . FOTO hiasan
BULI siber mampu beri tekanan emosi . FOTO hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 12:47 PM