PLATFORM permainan mewakili hampir separuh daripada populasi dunia dan menjadi tempat penyimpanan data peribadi pemain termasuk maklumat perbankan. - FOTO Pexels
PLATFORM permainan mewakili hampir separuh daripada populasi dunia dan menjadi tempat penyimpanan data peribadi pemain termasuk maklumat perbankan. - FOTO Pexels
Muhammad Saufi Hassan

 

Sebut saja industri permainan video, hampir separuh populasi dunia mengetahui perkara berkenaan atau sekurang-kurangnya pernah bermain permainan sama ada secara mudah alih, konsol atau menerusi mana-mana platform.

Industri permainan secara global juga menyumbang jumlah transaksi yang begitu tinggi mencecah bilion ringgit sekali gus menjadikan segmen berkenaan sebagai 'sasaran mudah' untuk sindiket penggodaman.

Berdasarkan satu laporan daripada firma keselamatan siber terkemuka, Kaspersky mendapati lebih empat juta serangan yang disasarkan kepada pemain permainan atau 'gamers' untuk tempoh Julai 2022 hingga Julai lalu.

Kaspersky mengesan 4,076,530 cubaan serangan untuk memuat turun 30,684 fail unik yang 'menyamar' sebagai fail permainan, mod, kod penipuan permainan (cheats) dan bermacam lagi untuk mengelirukan pengguna.

Fail berkenaan diklasifikasikan sebagai perisian dengan majoritinya adalah dalam bentuk 'downloader' sebanyak 89.70 peratus diikuti dengan 'adware' sebanyak 5.25 peratus dan 'Trojans' sebanyak 2.39 peratus.

Penggodam juga bijak melakukan sasaran jenis permainan yang paling popular dalam kalangan pemain iaitu Minecraft dengan jumlah sasaran melebihi 70 peratus.

Serangan berkenaan sebenarnya memberi kesan terhadap 130,619 pemain manakala judul lain yang turut menjadi sasaran adalah Roblox, Counter-Strike: Global Offensive, PUBG, Hogwarts Legacy, DOTA 2 dan League of Legends.

Bagi komuniti permainan pula, berdasarkan laporan Newzoo 2023 meletakkan 'gamers' berjumlah tiga juta pemain iaitu hampir menyamai 40 peratus populasi dunia.

Jika dibandingkan dengan setiap tahun, angka berkenaan meningkat dan ini merangkumi semua segmen permainan termasuk mudah alih menggunakan peranti pintar.

Data daripada 1 Julai tahun lalu hingga tarikh sama Julai lalu, sebanyak 436,786 cubaan serangan berlaku untuk peranti mudah alih yang memberi kesan kepada 84,539 pengguna secara keseluruhan.

KOMUNITI permainan mempunyai lebih empat juta pemain aktif secara global merentasi platform permainan. - FOTO Pexels
KOMUNITI permainan mempunyai lebih empat juta pemain aktif secara global merentasi platform permainan. - FOTO Pexels

Judul permainan Minecraft turut menjadi sasaran apabila lebih 90 peratus cubaan godam disasarkan kepada permainan itu terutamanya pemain daripada Indonesia dan Iran.

  Pada masa sama, PUBG dan Roblox juga menjadi sasaran popular untuk cubaan godam berkenaan.

Penggodam juga turut melaksanakan beberapa kaedah termasuk penyamaran fail dengan penggunaan SpyNote iaitu sebuah trojan pengintipan yang disebarkan kepada pengguna Roblox di platform Android yang menyamar sebagai fail modifikasi.

Trojan jenis ini mempunyai keupayaan yang pelbagai seperti input kekunci masuk daripada pengguna, rakaman skrin, penstriman video menerusi kamera peranti dan keupayaan untuk penyamaran bagi Google atau Facebook bagi membolehkan pengguna mendedahkan kata kunci mereka.

Pakar Keselamatan Siber di Kaspersky, Vasily Kolesnikov berkata, kaedah 'phishing' dan pemalsuan terus menimbulkan ancaman besar kepada pemain.

Menurutnya, perisian berniat jahat dan tidak diingini sering menyamar sebagai permainan popular, disebarkan melalui tapak web pihak ketiga yang menawarkan versi cetak rompak.

Katanya, halaman yang mengelirukan ini biasanya memaparkan kiraan muat turun yang melambung tinggi, yang berpotensi mengelirukan pengguna ke dalam rasa selamat yang palsu.

PENGGODAM mensasarkan kepada platform permainan untuk mencuri data pengguna. - FOTO Pexels
PENGGODAM mensasarkan kepada platform permainan untuk mencuri data pengguna. - FOTO Pexels

"Bagaimanapun, mengklik butang muat turun biasanya menghasilkan arkib yang mungkin mengandungi unsur berbahaya atau tidak berkaitan, menyimpang daripada kandungan yang dijanjikan.

"Dalam industri permainan dinamik yang menempatkan banyak data peribadi dan kewangan, penjenayah siber merebut peluang yang menarik.

"Mereka mengeksploitasi akaun permainan dengan merompak aset dalam permainan, mata wang maya dan menjual akaun permainan yang terjejas, selalunya dengan nilai dunia sebenar," katanya.

Menurutnya, pencarian data peribadi yang berterusan membawa kepada lonjakan serangan perisian tebusan, malah menjejaskan pemain profesional yang bergantung pada permainan tanpa gangguan.

Beliau berkata, Ini menekankan keperluan kritikal untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam komuniti permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 7:02 AM