NARENA aktif Peniagawati bantu usahawan tempatan ukir nama di persada dunia.
NARENA aktif Peniagawati bantu usahawan tempatan ukir nama di persada dunia.
Intan Mas Ayu Shahimi


WANITA tinggi lampai ini begitu manis tatkala melempar senyum. Lirik matanya menawan, langkahnya molek tersusun kemas. Datin Narena Nasrudin memang punya aura tersendiri.

Bergiat aktif sebagai ahli Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesion Malaysia (Peniagawati), wanita anggun ini bijak mencuri peluang memperbaiki kualiti dan kemahiran diri, sekali gus membantu lebih ramai usahawan serta pereka fesyen tempatan mengukir nama di persada dunia.

“Sebelum menyertai persatuan ini, saya hanya fokus kepada kehidupan peribadi dan perniagaan korset saja. Saya lebih mementingkan keluarga dan anak kerana tidak pernah puas memberikan yang terbaik buat mereka.

“Namun, apabila menyertai kerja sosial, saya mula melihat dunia dalam perspektif yang lebih luas. Saya belajar banyak ilmu baru, bergaul dengan pelbagai jenis orang, mengenal ragam manusia, mula berjumpa menteri, berunding dengan pihak agensi hinggalah berjaya mengatur majlis di luar negara.

“Sampai saat ini, saya jadi begitu komited dalam kerja. Ada waktunya saya terpaksa pujuk hati sendiri kerana perlu meninggalkan anak dan suami demi menguruskan perjalanan orang lain,” katanya tersenyum.

Jelas Narena, dia seronok dapat belajar pelbagai ilmu baharu, selain berpeluang berkenalan dengan ramai pemain industri, orang tidak kira di dalam, mahupun luar negara.

“Kerja saya adalah mencari tajaan dan merayu sumbangan untuk membantu orang lain. Tahun lalu umpamanya, kami bawa 80 usahawan Malaysia termasuk 13 pereka ke Minggu Fesyen New York untuk perkenalkan bakat dan jenama mereka ke mata dunia.

KETIKA membawa 80 usahawan Malaysia termasuk 13 pereka ke Minggu Fesyen New York tahun lalu.
KETIKA membawa 80 usahawan Malaysia termasuk 13 pereka ke Minggu Fesyen New York tahun lalu.

“Misi ini mungkin kedengaran menyeronokkan, tetapi realitinya menuntut pengorbanan yang besar. Mahu atau tidak, saya dan rakan-rakan terpaksa hadapi dengan tabah.

“Memang ada yang bertanya, apa pulangan bersusah payah melakukan kerja sebegini, tetapi saya balas dengan senyuman saja. Saya percaya, apabila kita membantu memudahkan jalan orang lain, Allah SWT akan turut mempermudahkan perjalanan hidup kita.

“Jika perlu keluarkan wang sendiri sekalipun, saya tetap cuba bantu. Apa yang pasti, kalau diri tidak kuat berdepan cabaran, kritikan dan ragam orang, usah cuba buat kerja NGO. Tanggungjawabnya berat untuk dipikul. Kalau setakat mengangkut beg, bersengkang mata atau menebalkan muka meminta tajaan orang, itu semua biasa,” katanya.

Berdepan salah anggap orang lain terhadap dirinya, kata Narena, dia tidak ambil pusing. Baginya, mengekalkan aura positif dalam kehidupan, kerjaya dan ruang peribadi cukup penting supaya diri terhindar daripada tekanan.

“Ramai orang tidak faham dengan peranan NGO. Kadangkala mereka marah apabila kehendak tidak dipenuhi. Sebenarnya kita melakukan kerja sosial, kebajikan, aktiviti amal secara sukarela atas dasar hendak membantu.

“Tiada peruntukan khusus mahupun bayaran daripada penaja. Inilah jariah kita untuk membantu mengangkat bakat tempatan. Peruntukan diperoleh memang untuk usahawan dan pereka. Katakan tidak cukup, saya sendiri terpaksa mengeluarkan sumbangan peribadi untuk menampung keperluan. Begitu juga dengan rakan dalam persatuan,” katanya.

NARENA cukup sensitif dengan tindak balas dan reaksi anak-anak.
NARENA cukup sensitif dengan tindak balas dan reaksi anak-anak.

SEBAK TINGGAL ANAK

Menyentuh perihal keluarga, kata Narena, dia mahu menjadi isteri dan ibu terbaik buat empat anaknya. Bagaimanapun, sebagai manusia biasa, dia juga tidak dapat lari daripada perasaan terluka dan kecewa.

“Kelemahan terbesar saya adalah tidak pandai menolak. Kalau orang minta tolong, saya tak sampai hati mengatakan tidak. Pernah juga saya mengesahkan kehadiran dalam majlis resepsi dan demam pada hari kejadian.

“Mahu atau tidak, saya akan gagahkan diri untuk bangkit dan bersiap. Saya tidak akan sesekali membatalkan kehadiran pada saat akhir. Saya tahu orang yang menjemput sudah membayar bahagian saya. Mana mungkin saya batalkan begitu saja.

“Anak juga sama. Saya tidak pernah ajar mereka berjanji. Saya bimbang ada kekangan di saat akhir dan janji dibuat tidak dapat dipenuhi. Ini tidak sedikitpun membantu anak, bahkan mungkin merosak­kan emosi dan perilaku mereka pada masa depan,” katanya.

Menurut Narena, dia cukup sensitif dengan tindak balas dan reaksi anak-anak. Walaupun anak sulung sudah mencecah usia 17 tahun, perhatian yang diberi tetap sama seperti anak bongsunya berusia lima tahun.

“Saya memang sukakan kanak-kanak. Bagi saya, kalau sudah menjadi isteri dan ibu, seharusnya tanggungjawab kedua-duanya digalas sebaik mungkin. Saya akan memasak untuk mereka, melayan dan mendengar keluhan anak-anak.

“Saya cukup terkesan dengan insiden kira-kira lapan tahun dulu. Anak kedua disahkan mengalami masalah buang pinggang dan terpaksa menjalani pembedahan membuang sebelah organ yang terjejas.

“Syukur, saya berjaya untuk kekal tabah di depannya. Saya percaya, kekuatan anak selalu terletak pada ibu mereka. Kalau saya panik, berduka atau kecewa, anak pasti merasakan yang sama,” katanya.

RATU DUNIA

Tidak lengkap pertemuan dengan Narena tanpa mendengar kisah menariknya bergelar Mrs International World menerusi pertandingan ratu cantik di New York tahun lalu.

Kata Narena, dia bersetuju menjadi wakil peserta Asia Tenggara semata-mata untuk mengutip pengalaman baru. Tambahan, syaratnya tidak menuntut dia mengenakan bikini atau berpakaian seksi.

“Saya masuk bukan untuk menang. Sejak dulu, saya agak skeptikal dengan wanita yang cantik. Bagi saya, ramai wanita cantik suka berbangga dengan rupa, tetapi kurang bijak dalam banyak perkara.

“Jadi, apabila dipujuk menyertai pertandingan ini, saya berbelah bagi. Saya sangkakan, bertanding ratu cantik ini seindah yang dilihat di skrin televisyen. Memperagakan pakaian, menjawab soalan, nampak glamor tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Sepanjang tujuh hari, saya seakan-akan mengikuti latihan ketenteraan. Bangun seawal empat pagi dan bersiap untuk pelbagai aktiviti, tidur hanya tiga hingga empat jam saja. Tiba waktu di pentas, saya memang tidak rasa hendak berjalan kerana terlalu penat. Namun tidak sangka saya terpilih sebagai Mrs International World,” katanya.

NARENA ketika memenangi Mrs International World.
NARENA ketika memenangi Mrs International World.

Sekalipun pernah meredah dunia glamor hingga ke persada antarabangsa, Narena nekad untuk tidak lagi mencuba kerana menghormati suami dan keluarga.

“Cukuplah dengan pengalaman tahun lalu. Setidak-tidaknya saya tahu bahawa bukan senang untuk berdepan cabaran besar, menjawab pelbagai soalan dan dinilai belasan juri. Paling penting, saya dapat belajar untuk senyum. Kalau dulu saya tidak pandai melontar senyuman dan mudah dilabel sombong, tetapi sekarang saya faham mengapa situasi itu berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 6:00 AM