BEG kepit mengkuang rekaan Hannef yang cantik dan eksklusif.
BEG kepit mengkuang rekaan Hannef yang cantik dan eksklusif.
Intan Mas Ayu Shahimi

Jika diteliti koleksi beg tangan TAS KL, siapa sangka pemilik jenama dan perekanya adalah lelaki. Setiap beg yang ditawarkan cukup cantik, kemas, memikat, elegan dan paling penting, unik.

Mana hendak dicari lagi beg tangan mengkuang berwarna yang cantik dan pada harga mampu milik? Tidak kira sama ada beg kepit, jinjit atau bimbit, semuanya boleh digayakan dengan persalinan moden atau klasik.

Menurut perekanya, Hannef Esquander, idea untuk tampil dengan koleksi beg tangan jenama sendiri tercetus daripada minatnya dan kecenderungan orang di sekeliling terhadap fesyen, rekaan dan lukisan.

“Saya sebenarnya lulusan Ijazah Sarjana Muda TESL dari Universiti Teknologi MARA. Saya pernah mengajar Bahasa Inggeris selama tujuh tahun sebelum bertukar kerjaya dalam bidang media.

“Malah sekarang saya masih lagi menjadi penulis bebas untuk kolum fesyen dan gaya hidup akhbar serta majalah tempatan. Namun kerana minat mendalam terhadap fesyen, saya mula berjinak-jinak dalam rekaan beg dan aksesori,” katanya.

PILIHAN beg jinjit.
PILIHAN beg jinjit.

Jelas Hannef, dia mula menyukai fesyen dan seni sejak sekolah. Minatnya kemudian berkembang selepas bekerja dalam persekitaran yang dikelilingi golongan kreatif seperti pelukis, pereka dan penulis.

“Secara kebetulan, saya juga sukakan beg. Sebelum lelaki sekarang membawa beg ke sana sini, saya sudah mulakan dulu trend ini ketika masih bergelar pelajar. Waktu itu memang susah untuk mencari beg lelaki yang sesuai dipakai. Kalau ada pun daripada jenama terkenal yang tidak mampu dibeli pelajar seperti saya.

“Dari situ, saya mula bereksperimen dengan beg buatan sendiri (DIY). Kebanyakan beg yang saya ubah suai biasanya tampak lebih maskulin apabila dipakai,” katanya ketawa.

Bina jenama

Bercerita mengenai jenama rekaannya, anak bongsu daripada tiga beradik ini mula menapak bersama seorang rakan yang juga pereka aksesori.

“Kami sering duduk semeja berbincang mengenai fesyen dan trend terkini. Hinggalah pada suatu hari, kami mula mencari projek baru untuk memulakan kolaborasi.

“Walaupun tidak mempunyai latar belakang formal sebagai pereka, tetapi fesyen seolah-olah sudah menjadi sebahagian daripada diri. Saya banyak membaca buku dan merujuk kepada rakan dalam industri seperti pereka Bon Zainal dan penyelaras tatarias, Yana Hussin yang saya anggap sebagai mentor.

“Ketika saya dan rakan memulakan jenama ini, sambutan yang kami terima agak menggalakkan. Tetapi dia akhirnya terpaksa menarik diri kerana tidak menang tangan dengan projek lain.

“Sejak itu saya mula mengemudi TAS KL sepenuhnya. Saya lakukan penjenamaan semula dan tampilkan banyak rekaan baru. Alhamdulillah, kini banyak permintaan dari Singapura, Brunei, Indonesia dan terkini Filipina,” katanya.

Sama seperti pereka lain, Hannef juga tidak lari daripada dugaan dan cabaran sepanjang mengendalikan jenamanya. Begitupun, dia bertuah kerana menjadi satu-satunya jenama tempatan yang mengetengahkan konsep perincian mewah menggunakan batu kristal, manik, mutiara, rantai perak dan emas serta pelbagai perincian lain di atas beg mengkuang pelbagai warna.

Paling menarik, setiap satu beg dihasilkan dengan kerja tangan dan rekaan pula dibuat mengikut permintaan pelanggan.

BEG kepit mengkuang rekaan Hannef yang cantik dan eksklusif.
BEG kepit mengkuang rekaan Hannef yang cantik dan eksklusif.

“Kami bermula dengan beg kepit mengkuang rona terang seperti merah jambu, hijau pucuk pisang, kuning dan jingga. Sekalipun rekaan baru bersilih ganti, namun beg kepit ini masih menjadi fokus jenama.

“Saya sengaja pilih mengkuang sebagai produk premium kerana nilai tradisinya yang semakin dilupakan. Saya mahu memberi nafas baru kepada beg mengkuang yang dulunya banyak digunakan nenek moyang kita.

“Selain itu, mengkuang juga mudah dibentuk. Jika dijaga rapi, ia boleh bertahan lama seperti material kulit. Ramai yang tidak sedar beg mengkuang buatan tangan boleh dibawa ke majlis besar dan tampak mewah jika kena dengan aksesorinya.

“Ini realiti. Tidak semestinya memilih beg kepit berjenama dari Paris atau Itali untuk ke majlis mewah. Ramai antara pelanggan saya yang mengenakan beg kepit mengkuang ke majlis perkahwinan di hotel lima bintang dan parti elit sekitar ibu kota,” katanya.

Dalam pada sibuk menerima tempahan, Hannef berkata, ada ramai yang bertanyakan beg yang boleh dipakai harian atau ketika bercuti pada harga mampu milik. Berikutan itu, dia memperkenalkan koleksi TASgirl iaitu beg inspirasi daripada percutian musim panas dan siap dipakai (RTW).

“TASgirl lebih fokus kepada beg jinjit (tote bag) kanvas dengan warna menarik serta rekaan unik seperti jalur berwarna, bintik polka, pompom, labuci, tampalan rama-rama dan burung.

“Terbaru, beg ‘wristlet’ dengan zip. Ia terdapat dalam empat pilihan warna iaitu hitam, merah jambu, hijau pudina dan krim. Bagi yang sukakan perincian jenama TAS KL, saya terjemahkan tanda pengenalan kami ke atas beg ini dengan harga mampu milik.

“Beg ini juga pernah dihasilkan untuk koleksi terhad ketika kolaborasi bersama jenama pereka tempatan seperti Annay H, Hasfitri Yusof dan Sekoci Malaysia,” katanya.

Tambah Hannef, dia sedia maklum pesaingnya kian meningkat. Namun, anak kelahiran Negeri Sembilan ini tetap optimis sentuhan rekaannya berlainan dan unik.

Katanya, ada pelanggan yang berkongsi foto beg jenama tempatan yang mengetengahkan rekaan hampir serupa tetapi dia percaya terhadap keaslian dan sikap jujur dalam menghasilkan sesuatu.

BERSAMA sebahagian koleksi TAS KL yang dibawa ke studio.
BERSAMA sebahagian koleksi TAS KL yang dibawa ke studio.

“Setiap rekaan dihasilkan dengan cetusan idea dan kerja tangan saya sendiri. Jika ada permintaan khusus daripada pelanggan, merekalah yang akan memilih warna, perincian, bentuk atau material beg diingini.

“Saya hanya memastikan setiap rekaan dihasilkan mengikut kesesuaian gaya hidup masa kini. Contohnya, beg kepit mengkuang moden yang saya hasilkan sesuai untuk wanita ke sesuatu majlis dan parti.

“Tetapi bagi yang menjalani kehidupan sederhana, mereka boleh memilih beg jinjit mengkuang yang tahan lasak. Beg ini boleh memuatkan komputer riba dan dokumen untuk ke pejabat atau keperluan lain yang dirasakan perlu,” katanya yang turut menyelitkan fabrik songket, labuci, batik dan satin dalam setiap rekaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 8:50 AM