SYAFIZA menggunakan kreativiti dalam penghasilan bunga kertas.
SYAFIZA menggunakan kreativiti dalam penghasilan bunga kertas.
Siti Zarinah Sahib


MENGHASILKAN pelbagai jenis bunga daripada kertas memerlukan ketelitian dan bukan satu kerja yang mudah.

Ini kerana kertas yang sifatnya tebal dan keras perlu dilipat dan dibentuk menjadi kuntuman bunga yang indah supaya tampak asli. Jika tersilap, lipatan perlu dibuka semula dan diulang daripada langkah awal sehingga mendapat hasilnya.

Namun bagi Syafiza Khadir, 24, minat dan pengalaman yang digabungkan bersama menjadikan idea kreatifnya diterima ramai.

Menurut Syafiza, sebelum memperkenalkan seni buatan bunga kertas ini, dia bermula dengan melukis potret terlebih dahulu. Namun ia bertahan empat bulan sahaja sebelum beralih kepada lukisan inai atau henna.

“Kekangan masa untuk ke rumah pelanggan disebabkan anak yang masih kecil menyebabkan perniagaan ini berkubur begitu sahaja. Selepas semua rancangan menemui kegagalan saya berehat seketika. Namun otak ligat berputar apakah yang boleh dilakukan bagi menjana pendapatan,” katanya.

TEKUN menghasilkan gubahan bunga tangan untuk pelanggan.
TEKUN menghasilkan gubahan bunga tangan untuk pelanggan.


Selepas melihat dan menyelidik pelbagai kraf yang terdapat di Internet, Syafiza mengambil keputusan membuat bunga kertas. Pada mulanya dia hanya belajar di YouTube dengan menonton cara penghasilan bunga yang lebih realistik sehingga dapat menghasilkan bunga yang lebih baik dari

hari ke hari.

Namun cabaran dilaluinya bukan mudah. Belajar dari Internet dan berguru adalah dua perkara berbeza. Ini kerana Internet hanya menggunakan komunikasi sehala jadi sekiranya kurang faham dia tidak mempunyai rujukan untuk mendapatkan maklum balas.

“Saya mulai belajar sedikit demi sedikit. Jika tidak berjaya saya lakukan semula sehingga mendapat hasil yang diinginkan. Bermula Disember 2017, saya menerima tempahan bunga hantaran. Sejak itu tempahan mulai bertambah sehingga saya menghasilkan jenama sendiri Crepestyle,” kata Syafiza yang mempunyai dua cahaya mata.

Syfiza mengakui tempoh untuk menyiapkan kraf bunga mengambil masa yang lama kerana ketelitian bentuk dan penghasilan kelopak perlu dilakukan secara berhati-hati.

“Untuk 10 kuntum bunga bersama gubahan saya mengambil masa 10 hari. Bayangkan sekiranya banyak kuntuman diperlukan tentu lebih banyak masa perlu diluangkan. Sebab itu tidak ramai yang sanggup mengambil tempahan disebabkan kekangan masa,” jelasnya.


Dia yang mengambil tempahan untuk bunga tangan serta gubahan hantaran menerusi Instagram, dia turut tidak ketinggalan menghasilkan bunga hiasan rumah atau pejabat. Reka bentuk tempahan ini dihasilkan 100 peratus atas permintaan pelanggan yang inginkan kelainan di rumah mereka.

Malah, dia juga mengikuti kumpulan di media sosial The Paper Florist yang mengumpulkan semua pencinta bunga di seluruh dunia bagi berbincang dan berkongsi ilmu mengenai kraftangan.

“Jadi saya memanfaatkan kelebihan berada dalam kumpulan ini untuk bertanyakan apa sahaja bagi menambah baik kraftangan yang dihasilkan. Di YouTube juga ada perkongsian penghasilan bunga daripada kertas ini, tetapi templat yang digunakan tidak sama kerana masing-masing mempunyai corak yang tersendiri,” katanya.

Pada masa akan datang Syafiza berharap dapat mendidik masyarakat supaya melihat kraftangan dari sudut kesenian dan bukan kerja halus semata-mata. Ini supaya mereka menghargainya dan meletakkannya di satu tahap yang lebih tinggi seperti masyarakat barat yang mengagungkan hasil kreativiti individu.

“Saya berhasrat membawa kelainan dengan bunga kertas agar dapat digunakan dalam pelbagai jenis kegunaan. Kraftangan yang dihasilkan artis luar negara memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan menghasilkan bunga yang lebih cantik.

“Semoga seni bunga kertas ini menjadi suatu bidang yang mempunyai tempat di dalam industri kraf negara justeru mampu dijadikan kerjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 4:30 AM