HAMILIA (kanan) dan anaknya bersama-sama menyiapkan tempahan pelanggan.
HAMILIA (kanan) dan anaknya bersama-sama menyiapkan tempahan pelanggan.
Siti Nadirah Hafidzin

Dia dianggap ‘otai’ dalam khidmat seni gubahan. Mana tidaknya, sambil berbicara, tangan seninya ligat menggubah satu persatu tempahan pelanggan dan ia berjaya disiapkan dengan sempurna.

Ternyata perniagaan pelbagai jenis hamper dan bunga diusahakan anak kelahiran Kampar, Perak sejak 15 tahun lalu serasi dengan jiwanya yang sememangnya meminati seni gubahan.

Hamilia Safian berkata, tempoh 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu bukan satu tempoh singkat dan dia sudah melalui pelbagai suka mahupun duka dalam proses penyediaan hamper.

“Saya suka menghias atau melakukan gubahan bunga dan bermula dari situ, saya mula mencari peluang mengembangkan minat ini supaya ia tidak sekadar minat tetapi dapat membuahkan hasil.

“Syukur, keputusan mengusahakan perniagaan berasaskan hamper ini adalah satu pilihan tepat kerana perniagaan ini semakin berkembang hari demi hari walaupun satu ketika dulu pernah mengalami detik perit,” katanya.

Menurut Hamilia, dia menerima tempahan pelbagai jenis hamper tidak kira untuk dijadikan hadiah atau pemberian ketika musim perayaan yang semuanya dibuat mengikut bajet dan tema dikehendaki pelanggan.

“Kebiasaannya, stok bagi gubahan hamper, bunga atau coklat memang sedia ada di rumah namun saya juga menerima tempahan mengikut apa yang dikehendaki pelanggan.

“Kebanyakan tempahan kini dilakukan menerusi telefon selain laman sosial Facebook (FB) dan Instagram (IG) yang sangat membantu,” ujarnya.

Menurutnya, menjalankan perniagaan pada era kini jauh berbeza disebabkan semuanya beroperasi di hujung jari.

“Mudah sebenarnya berniaga pada masa sekarang jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini. Dulu amat susah untuk mempromosikan produk dihasilkan namun kini semuanya berubah. Perubahan ini juga amat membantu saya dan saya yakin ia juga membantu ramai peniaga lain,” katanya.

TEMPAHAN gubahan pelanggan.
TEMPAHAN gubahan pelanggan.

Fahami kehendak pelanggan

Hamilia mengakui perbincangan rapi bersama pelanggan terutama berkaitan tema dan harga gubahan hamper adalah suatu perkara yang penting.

“Daripada situ saya sering mendapat idea kerana apa yang dimahukan pelanggan itu memberi idea baru kepada saya untuk berkarya.

“Selepas mengetahui apa yang mereka mahukan, saya akan gabungkan idea sendiri untuk menghasilkan gubahan hamper yang terbaik,” katanya.

Menurut Hamilia, kebiasaannya idea datang mencurah apabila dia mula melakukan gubahan sehinggalah ia menjadi satu gubahan hamper yang cantik.

“Walaupun boleh menyiapkan sesuatu gubahan dengan sendiri namun saya tetap mahukan buah fikiran dan cuba penuhi keinginan atau ilham pelanggan.

“Pengalaman lama dalam bidang ini tidak membuatkan saya tinggi diri atau sombong kerana bagi saya kepuasan pelanggan adalah perkara paling utama,” ujarnya.

TEMPAHAN gubahan pelanggan.
TEMPAHAN gubahan pelanggan.

Menurutnya, sambutan yang diterima pada awalnya agak perlahan namun lama kelamaan tempahan semakin meningkat.

“Syukur, selepas berada dalam bidang ini selama 15 tahun, saya sudah mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa mempercayai khidmat gubahan hamper yang saya lakukan.

“Biasanya pelanggan tetap akan mempromosikan perkhidmatan saya kepada ahli keluarga dan rakan mereka yang pastinya dapat membantu meluaskan lagi perniagaan ini,” katanya.

Teknik pikat pelanggan

Tidak meletakkan harga sesuka hati dan menjual hamper dengan harga paling rendah RM20 seunit membuatkan perniagaan diusahakan Azalia terus dipercayai.

“Saya menerima tempahan hamper mengikut bajet pelanggan dan turut menyediakan khidmat menyediakan hamper bajet untuk majlis sukan sekolah, pertandingan futsal, sukaneka dan hari keluarga.

“Pada masa sama, saya juga menerima tempahan hamper untuk dijadikan cenderahati majlis kenduri atau hadiah bagi tetamu terhormat,” ujarnya.

ANTARA tempahan hamper pelanggan.
ANTARA tempahan hamper pelanggan.

Menurut Hamilia, selepas bertapak dalam tempoh mencecah 15 tahun, dia mengharapkan perniagaan diusahakan terus berkembang dan menerima sambutan. Apabila sudah berada pada tahap ini tentu saja saya mengharapkan perniagaan ini dapat berterusan dengan baik.

“Kini saya beroperasi di sebuah kedai berdepan dengan rumah saya di Seksyen 30, Shah Alam, Selangor. Rata-rata pelanggan yang biasa mendapatkan khidmat saya terus datang ke kedai untuk mengambil tempahan hamper selepas perbincangan dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 2:40 PM