PENGHASILAN kraf seramik bagi Muhammad Iqbal memerlukan kepekaan dan ketelitian.
PENGHASILAN kraf seramik bagi Muhammad Iqbal memerlukan kepekaan dan ketelitian.
Hartini Mohd Nawi


Seni dan nilai estetika setiap produk kraf tidak pernah lapuk ditelan zaman biarpun kebanjiran aksesori hiasan lain di pasaran.

Begitu jugalah halnya dengan keunikan kraf seramik yang terus menambat hati peminat tegar daripada pelbagai lapisan umur.

Tidak mahu kalah dengan kehadiran aneka elemen hiasan dengan pelbagai rekaan menarik, Muhammad Iqbal Awang Damit, 26, hakikatnya mempunyai matlamat tersendiri dalam memartabatkan seni kraf itu.

“Saya cuba ketengahkan kelainan dalam setiap kraf seramik ini supaya ia lebih menarik perhatian semua pihak khususnya generasi muda.

“Oleh itu, dari proses penghasilan hingga siapnya kraf ini, perincian daripada pelbagai aspek diambil kira.

“Sedaya mungkin saya cuba buktikan ia ada keunikannya dan antara elemen yang mendekatkan kita dengan alam,” kata anak kelima daripada enam beradik ini.

SABAN waktu, Muhammad Iqbal (kiri) dan pekerjanya tidak menang tangan menyiapkan tempahan.
SABAN waktu, Muhammad Iqbal (kiri) dan pekerjanya tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Baginya, kini kesedaran dan minat terhadap seramik semakin meningkat dalam kalangan generasi muda.

“Golongan perintis seramik juga memainkan peranan dan saya sendiri cuba mengambil inisiatif untuk sama-sama memperkenalkan seni ini kepada generasi muda dengan mewujudkan Bangkita Seramik Studio.

Ditemui di galeri dan ruang pamerannya itu, ketika Program Liputan Media Sempena Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLICF2017) Selalu lalu, seribu satu cerita berkenaan kraf seramik dikongsikan.

Dari reka bentuk, warna dan motif yang ditonjolkan pada setiap kraf Bangkita Studio Seramik itu nyata mempunyai identiti tersendiri.

RANTAI kunci atau ‘key chain’ seramik ini antara cenderahati menarik.
RANTAI kunci atau ‘key chain’ seramik ini antara cenderahati menarik.

“Rekaan segar lebih kepada moden kontemporari dan berinspirasikan alam semula jadi pada kraf ini antara tarikan untuk menjadikannya sebagai elemen hiasan unik.

“Sifat alam semula jadi menjadi perlambangan kepada kraf yang saya ketengahkan ini.

“Banyak contoh di depan mata seperti seludang kelapa, daun nipah dan tekstur kayu yang menjadikan kraf ini semakin diminati ramai,” kata Muhammad Iqbal yang lebih gemar menghasilkan kraf seramik pelbagai guna sama ada untuk hiasan, cenderahati atau kegunaan harian.

Pada masa sama, beliau gemar bermain dengan warna alam khususnya coklat, perang, biru dan hijau.

Lebih membanggakan, usahawan muda ini pernah mempelajari ilmu berkenaan seramik di Korea Selatan selepas tamat pengajian seni itu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2012.

“Korea antara pengeluar seramik terbesar di dunia dan memiliki kepakaran dalam penghasilan seramik secara teknikal.

“Di sana saya belajar menghasilkan seramik di sebuah studio seramik di Gyeonggi-do, sebuah perkampungan seramik di Icheon,” katanya yang berhasrat menjadikan Sijangkang, Selangor sebagai pusat sehenti seramik suatu hari nanti.

MOTIF alam termasuk daun antara keunikan produk dihasilkan Muhammad Iqbal di bawah Bangkita Studio Seramik.
MOTIF alam termasuk daun antara keunikan produk dihasilkan Muhammad Iqbal di bawah Bangkita Studio Seramik.

Tidak ketinggalan, beliau begitu menghargai kerjasama yang diberikan Kraftangan Malaysia dari pelbagai aspek termasuk penyertaan dalam pameran di luar negara, Hari Kraf Kebangsaan (HKK) dan terbaru bakal menyertai KLICF 2017.

Anda pencinta seni kraf seramik tentunya berminat untuk mengunjungi Bangkita Studio Seramik di 921, Jalan Tanjung, Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor atau emel [email protected] untuk sebarang keterangan lanjut.

MUHAMMAD Iqbal menunjukkan sebahagian kraf seramik yang dihasilkan.
MUHAMMAD Iqbal menunjukkan sebahagian kraf seramik yang dihasilkan.

KLICF 2017

Bakal diadakan pada 23 hingga 26 November ini di Percint 3, Dataran Putrajaya.

Ia antara inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui agensinya Perbadanan Kraftangan Malaysia dalam menyediakan platform perniagaan bertaraf antarabangsa kepada usahawan kraf di dalam dan luar negara.

Menurut Pengarah Bahagian Kormunikasi Korporat, Kraftangan Malaysia Abdul Manan Ismail, program itu mensasarkan penyertaan seramai 442 usahawan terdiri daripada 250 usahawan domestik dan 192 usahawan antarabangsa.

REKAAN turut menggabungkan karakter alam semula jadi.
REKAAN turut menggabungkan karakter alam semula jadi.

“KLICF 2017 ini menjadi landasan mempertemukan pembeli dan peminat dengan usahawan kraf dari Malaysia serta luar negara untuk membeli, bertukar idea, pengetahuan dan informasi berkenaan industri kraf.

“Selain peluang untuk penerokaan pasaran baru di peringkat global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 3:11 PM