SUZIMA. FOTO Aziah Azmee
SUZIMA. FOTO Aziah Azmee
Siti Zarinah Sahib

Pada 2015, selepas bersara dalam industri minyak dan gas, Suzima Hazish, mengikut suami yang aktif mendaki gunung dan berkhemah di kawasan perkampungan Hulu Dungun, Terengganu. Di sana dia bertemu bidan Orang Asli yang mengamalkan herba dalam perubatan tradisional mereka.

“Terpikat dengan kebaikan herba yang banyak terdapat di kawasan hutan turut mendorong saya mulai belajar berkenaan kebaikan pokok herba seperti kacip fatimah, serapat dan manjakani terutama dalam perbidanan Melayu tradisional,” katanya yang berkunjung ke Balai Berita NSTP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujar Suzima apa yang menyebabkan dia tertarik untuk lebih mendalami ilmu berkenaan herba disebabkan kesukaran mendapatkan tumbuhan semula jadi ini ketika berpantang.

“Selepas melahirkan cahaya mata pertama saya memang mengamalkan berpantang secara tradisional. Misalnya lengkuas, halia dan serai yang direbus dan diminum airnya. Saya dapati banyak kebaikan amalan minuman herba ini kerana boleh melancarkan pengaliran darah dan membuang angin dalam badan,” katanya.

Namun kebanyakan wanita zaman sekarang gemar mengamalkan makanan tambahan yang tidak diketahui kandungannya sedangkan bahan di rumah lebih berkhasiat dan memberikan kebaikan kepada tubuh berbanding yang dibeli di kedai.

Berhasrat mendidik masyarakat berkenaan amalan pemakanan tradisional membuatkan Suzima yang juga pengasas produk SuzyHoney kental masuk ke hutan untuk mencari kacip fatimah dan serapat untuk produk keluarannya.

“Kebiasaannya saya bersama suami dan beberapa kawan akan ke kawasan Pasir Raja, Terengganu untuk mencari tumbuhan herba ini. Selepas mengambil daun yang berkualiti dan berkhasiat, semua bahan ini akan dibersihkan terlebih dulu. Pemotongan dilakukan mengikut ukuran yang betul sebelum semua bahan dikeringkan sama ada di bawah cahaya matahari atau disalai,” katanya.

MENCARI kacip fatimah memerlukan kesabaran dan ilmu yang perlu dipraktikkan. FOTO NSTP
MENCARI kacip fatimah memerlukan kesabaran dan ilmu yang perlu dipraktikkan. FOTO NSTP

Walaupun menjadikan aktiviti ke hutan sebagai sumber pencarian, dia turut berdepan cabaran iaitu terpaksa melalui laluan berliku dan sukar untuk mendapatkan tumbuhan herba. Pernah kawasan dilaluinya ada ‘berbau’ haiwan liar seperti harimau namun dia tidak pernah berdepan dengan peristiwa buruk.

“Ada cara yang perlu kami amalkan ketika masuk ke hutan, tidak boleh terjah saja. Misalnya untuk mendapatkan kacip fatimah hanya pada waktu dhuha dan tidak boleh mengambil pokok yang sudah terlalu tua atau muda. Tinggalkan sebanyak 20 peratus dan bukan ambil semuanya. Ini antara syarat yang sering kami ikuti ketika ke hutan.

“Oleh kerana kesukaran mendapatkan kacip fatimah, saya turut membuat kebun herba dengan menanam sendiri di kawasan hutan berdekatan rumahnya,” ujarnya yang mengakui berkhemah di hutan dapat mendekatkan diri kepada Maha Pencipta selain menghargai keindahan alam sekitar yang tiada tolak bandingnya.

Ajar hasilkan minuman herba

Mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan wanita yang mula mendapat kesedaran berkenaan amalan pengambilan herba jelas Suzima, dia sering meminta golongan itu tidak menghabiskan duit membeli minuman tambahan yang tidak diketahui bahannya. Sebaliknya mengesyorkan mereka membuat sendiri menggunakan bahan daripada dapur saja.

Antara yang paling berkesan adalah air rebusan daun sirih yang mampu menghilangkan bau badan dan masalah keputihan. Caranya ambil tiga helai daun sirih direbus bersama lima cawan air dan diminum dua kali sehari.

SUZIMA menunjukkan kacip fatimah yang diambil dari hutan. FOTO Aziah Azmee
SUZIMA menunjukkan kacip fatimah yang diambil dari hutan. FOTO Aziah Azmee

“Ia bukan saja sesuai untuk wanita pertengahan usia sebaliknya remaja yang baru saja datang bulan. Biasanya wanita yang mempunyai masalah bau badan berpunca daripada keputihan. Jadi dengan mengamalkan air sirih lama-kelamaan bau badan akan hilang,” ujarnya.

Suzima yang turut berguru dengan pakar perubatan herba Dr Abdul Ghani Husin dari Langkawi, Kedah menjelaskan antara bahan paling tinggi khasiat dan seharusnya dijadikan amalan adalah pandan, serai, halia, kunyit dan kayu manis yang direbus serta diminum airnya.

“Merebus mampu mengekalkan khasiat herba selain menghilangkan bahan toksin yang tidak diperlukan. Sebab itu orang zaman dulu hanya menggunakan teknik merebus saja kerana banyak khasiat dapat diserap badan berbanding mengisar atau membakar,” katanya.

Katanya, produk berasaskan jamu perlu diambil mengikut kesesuaian. Untuk itu wanita perlu tahu tujuan pengambilannya sama ada untuk membuang angin, meringankan badan atau mengelak rasa lenguh badan.

Namun apa yang dikhuatiri adalah proses dan kandungan bahan yang tidak diketahui pengguna. Kemungkinan jika diambil secara berlebihan ia boleh merosakkan hati atau buah pinggang.

“Secara umumnya minuman herba perlu diambil mengikut keperluan badan. Mak bidan pada zaman dulu umpamanya hanya mengambil ulam-ulaman sekitar rumah saja dan tidak makan semuanya. Ini bagi mengelak toksin berkumpul dalam badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:50 AM