ORANG zaman dahulu rajin bertangas bagi mengecutkan rahim selepas bersalin.
ORANG zaman dahulu rajin bertangas bagi mengecutkan rahim selepas bersalin.
Siti Zarinah Sahib


SIBUK menguruskan keluarga dan kerjayamenyebabkan wanita mengambil mudah isu kesihatan dalaman. Bagi mereka asalkan fizikal langsing dan menawan, dilitupi busana nan indah serta wajah tebal disolek, ia sudah memadai. Namun sebenarnya ramai tidak tahu kecantikan luaran akan terserlah andai dalaman juga sihat.

Ini diakui pengamal perubatan Melayu, Suzima Hazish yang menekankan mengenai pentingnya wanita menjaga kesihatan rahim dan faraj kerana daripadanya ia akan menyerlahkan keserian wajah serta fizikal kaum hawa.

Tidak perlu berbelanja mahal, amalan nenek moyang terdahulu yang kian ditinggalkan sebenarnya berkesan bagi memulihkan kesihatan dalaman. Bertangas cara paling mudah namun sangat efektif memulihkan organ dalaman wanita.

Tidak percaya lihat bagaimana orang terdahulu masih kekal hebat biarpun melahirkan ramai cahaya mata yang antara lain disebabkan kerajinan mereka melakukan amalan bertangas.

“Orang zaman dahulu rajin bertangas bagi mengecutkan rahim selepas bersalin. Badan mereka juga diletakkan di bawah bara api bagi memanaskannya. Ia bukan dilakukan ketika dalam pantang, tetapi setiap masa apabila dirasakan perlu.

Bahan-bahan digunakan adalah tumbuhan herba dan apa yang ada di dapur sahaja,” katanya. Selain mengecutkan rahim, bertangas dapat menghilangkan keputihan, membantu mengatasi masalah kedinginan seks dan melancarkan haid.

Kebaikan yang lain pula, ia dapat mengatasi masalah sakit kencing kotor dalam kalangan wanita. Ini kerana wap tangas dapat membersih dan melegakan saluran faraj.

Seelok-eloknya amalan ini dibuat selepas haid iaitu sekali atau dua kali sebulan. Jika masalah yang teruk dinasihatkan untuk bertangas dua atau tiga kali seminggu. Ia tidak hanya dikhususkan kepada wanita yang sudah bersalin, tetapi mereka yang belum berkahwin turut digalakkan bertangas.

Bagi menjimatkan wang, Suzima mencadangkan wanita melakukan tangas kering di rumah kerana ia lebih mudah berbanding tangas basah. Hanya menggunakan bahan-bahan di dapur mereka dapat melakukannya berulang-ulang.

“Selain menjimatkan, kesan diperoleh juga sama seperti rawatan di spa. Lebih penting ia berkesan memulihkan kelesuan selepas penat bekerja. Rasakan kesegarannya selepas selesai bertangas,” jelasnya.

BAHAN TANGAS

- 1 sudu halba - Menghilangkan lendir-lendir juga merangsangkan rahim untuk lebih sihat

- 3 inci halia - Memecahkan angin tersumbat

- 3 inci kunyit hidup - Melembapkan kulit di sekitar kawasan faraj, cepat menyembuhkan dan merawat luka lepas bersalin

- 5 keping asam gelugor - Menghilangkan bau pada vagina dan cepat mengecut untuk masalah rahim kembang

- 1 sudu besar lada hitam - Melancarkan perjalanan darah, memecahkan lemak juga membuang lebihan air

- 3 helai daun sirih - Menghilang keputihan dan kegatalan faraj

1. SEDIAKAN bahan tangas seperti halia, kunyit hidup, asam gelugor atau asam keping, lada hitam dan daun sirih.

2. TUMBUK kesemua bahan tadi kecuali daun sirih sehingga lumat.

TANGAS 1 dan 2
TANGAS 1 dan 2

3. AMBIL tiga batu sungai dan dibakar selama 10 minit sehingga betul-betul panas. Pastikan batu tidak terlalu besar.

4. LETAKKAN sirih sebagai alas batu sungai (gunakan periuk tanah). Letakkan bahan yang ditumbuk tadi di atas batu sungai yang sedang panas. Letakkan atau perahkan limau atau dicampurkan cuka bagi mempercepatkan proses pengecutan rahim.

TANGAS 3 dan 4
TANGAS 3 dan 4

5. KETIKA batu sungai masih panas, letakkan ia di bawah kerusi tangas. Duduk dalam keadaan selesa pastikan tubuh diselimuti kain bagi mengelak wap tangas keluar. Lakukan selama 15 hingga 30 minit sehingga batu sungai hilang kepanasannya.

BERTANGAS mampu memulihkan kelesuan selepas penat bekerja.
BERTANGAS mampu memulihkan kelesuan selepas penat bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 4:00 AM