KACIP Fatimah.
KACIP Fatimah.

Kacip Fatimah tergolong dalam keluarga Myrsinaceae yang hidup dan mempunyai taburan semula jadi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Papua New Guinea.

Ia sejenis tumbuhan herba berkayu bersaiz kecil dan tumbuh renek dengan ketinggian 60 sentimeter (sm) dan popular dalam kalangan masyarakat Melayu, khususnya wanita selepas melahirkan anak.

Prof Madya Dr Hawa ZE Jaafar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menjalankan kajian mendapati pokok herba ini berkhasiat untuk meningkatkan libido (syahwat) dan kesihatan sama ada untuk lelaki atau perempuan.

Kajian itu juga mendapati Kacip Fatimah bersifat antikanser, antikulat dan antiradang, selain khasiatnya yang merangsang estrogen.

Dalam amalan perubatan tradisional, daun Kacip Fatimah direbus bersama ramuan herba lain dan campurannya diminum atau digunakan untuk mandi.

Pokok herba separuh renek ini biasanya tumbuh 30 hingga 60 sm tinggi. Setiap pokok ada empat hingga 10 daun menghala ke atas dan mempunyai satu akar utama ditumbuhi akar-akar rerambut halus di sekitarnya.

Pokok yang matang mula mengeluarkan bunga seawal usia tujuh bulan selepas dipindahkan ke ladang. Terdapat satu tangkai bunga bagi satu-satu masa dan terbit melalui pangkal daun.

Ia mempunyai buah berbentuk bulat, lima milimeter (mm) ukuran garis pusat, berwarna hijau semasa muda, bertukar merah atau ungu selepas masak.

Kacip Fatimah sesuai ditanam di kawasan tanah subur, bersaliran baik dan mengandungi organik tinggi seperti keadaan asalnya di dalam hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 5:00 AM