ROMI menunjukkan ubi jaga yang  dikeringkan untuk dijual di kedainya di Kampung Menchupu, Pekan, Pahang.
ROMI menunjukkan ubi jaga yang dikeringkan untuk dijual di kedainya di Kampung Menchupu, Pekan, Pahang.
Shahrinnahar Latib


Pekan: Apabila disebut ubi jaga, mungkin ramai tidak mengetahuinya walaupun herba berkenaan mempunyai banyak keistimewaan termasuk membantu meningkatkan tenaga dan memulihkan tenaga batin.

Akar kayu berkenaan mempunyai nilai tinggi di pasaran hingga mampu mencapai RM200 sekilogram berikutan kesukaran mencarinya di hutan.

Bagi pengusaha herba akar kayu, Romi Hassan, 21, untuk mencari herba berkenaan, dia dan beberapa ahli keluarga akan memasuki hutan di sempadan Terengganu-Pahang selama seminggu menggunakan pacuan empat roda.

“Kami akan bermalam di hutan berkenaan. Selain mencari ubi jaga, kami turut mencari herba lain termasuk tongkat ali, kacip fatimah, kayu hitam dan raja kayu.

“Selalunya dalam tempoh seminggu di hutan, hanya sekilogram ubi jaga dapat dicari kerana kesukaran menemuinya.

“Bukan mudah mahu mengambil akar kayu di hutan. Banyak pantang larang dan bukan semua orang boleh menarik akar berkenaan naik ke permukaan tanah,” katanya ketika ditemui di kedai herba miliknya di Kampung Orang Asli Menchupu di sini, semalam.

Menurutnya, ubi jaga adalah tumbuhan menjalar yang tumbuh liar dalam hutan yang mampu memperbaiki peredaran darah orang yang mengamalkannya.

“Bagi masyarakat Orang Asli, ubi jaga akan direbus bersama tongkat ali putih bagi meningkatkan tenaga seksual lelaki.

“Di kedai, kami menjual ubi jaga yang sudah dikeringkan dengan harga RM200 sekilogram. Selalunya yang datang membeli adalah orang Cina, kadang-kadang sehingga lima kilogram sekali beli,” katanya.

Katanya, selain ubi jaga, dia juga menjual pelbagai jenis tongkat ali iaitu putih, merah dan hitam.

“Tongkat ali ini saya jual dengan pelbagai harga mengikut jenis antara RM5 hingga RM10 sekilogram,” katanya.

Walaupun masih muda, Romi yang berketurunan Orang Asli suku Jakun berpengalaman luas dalam mencampur ramuan akar kayu untuk dijadikan ubat tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 9:30 AM