ANALISIS wajah wajib dilakukan sebelum rawatan.
ANALISIS wajah wajib dilakukan sebelum rawatan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Tampil cantik dengan kulit bersih, mulus dan sekata tentunya menjadi idaman setiap wanita. Lazimnya, ramai yang akan mencadangkan penggunaan produk penjagaan wajah tertentu, petua, amalan dan pelbagai jenis vitamin mahupun makanan tambahan.

Namun, realitinya setiap wanita mempunyai keperluan, kehendak dan disiplin berbeza dalam memastikan kulit wajah mereka sentiasa segar, terpelihara daripada kesan cela.

Mungkin ada antara wanita yang sudah jemu mencuba berikutan selalu gagal mendapatkan hasil diingini. Tidak kurang juga yang berserah saja pada keadaan kerana terikat dengan tuntutan kerjaya dan keluarga hingga mempengaruhi had masa untuk diri sendiri.

Penyelesaian paling mudah adalah mengenakan alat solek ketika hendak keluar rumah. Maka tidak hairanlah jika ada mengatakan bahawa tahap kebergantungan sesetengah wanita terhadap mekap cukup tinggi, khususnya untuk membantu mereka meningkatkan keyakinan diri.

Menurut pemilik Skin Valet Ampang, Narqes Mohd Raimi, ada banyak rawatan wajah yang boleh membantu wanita tampil cantik semula jadi dan berkeyakinan selain menggunakan alat solek.

“Sebenarnya, kekerapan menggunakan alat solek boleh mendatangkan masalah kulit kering, kusam dan tidak sekata. Begitu juga dengan wajah yang dibiarkan polos. Kemungkinan terdedah kepada pencemaran dan sinar ultra ungu (UV) juga lebih tinggi.

“Jadi, untuk mengekalkan kulit segar, sihat dan bersih, setiap wanita digalakkan menjalani rutin pemeriksaan kulit wajah serta mendapatkan rawatan sewajarnya di pusat kecantikan atau spa sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Di sini, kita sediakan pelbagai khidmat khusus untuk mereka yang mengalami masalah jeragat, kulit kusam, tidak sekata, jerawat, parut hitam, pelangsingan dan membuang bulu roma berlebihan.

“Bagi mereka yang mahukan kulit wajah sekata dan bebas cela, kami cadangkan untuk menjalani rawatan sulam bedak Korea atau popular dengan nama Korean BB Glow,” katanya.

LARUTAN BB Glow digunakan untuk rawatan sulam bedak.
LARUTAN BB Glow digunakan untuk rawatan sulam bedak.

Jelas Narqes, selain kulit sekata, rawatan sulam bedak juga menjadi pilihan ramai berikutan membantu mengecilkan pori kulit, mengurangkan minyak dan kesan parut hitam pada wajah. Secara tidak langsung, ia turut membantu wanita tampil dengan wajah lebih sihat berseri.

“Kami cadangkan rawatan ini untuk wanita yang mempunyai kulit matang iaitu sekitar usia 20-an ke atas. Mereka wajib menjalani analisis wajah terlebih dulu untuk mengenal saiz pori, peratus kelembapan kulit, minyak, bakteria, ton wajah, tahap kerosakan UV atau jeragat. Malah, analisis inilah yang akan menunjukkan perbezaan hasil yang diperoleh sepanjang menjalani rawatan.

“Selepas itu, kami akan teruskan dengan rawatan Aqua Peel (menyedut kotoran dari ruang pori kulit), diikuti pembersihan wajah tiga peringkat, termasuk mencuci, skrub dan pupur. Ini penting kerana kulit yang dibersih sempurna akan menampakkan kesan rawatan lebih baik.

TOPENG LED untuk merangsang pengeluaran kolagen.
TOPENG LED untuk merangsang pengeluaran kolagen.

“Kemudian, barulah kita mulakan sulam bedak menggunakan larutan BB Glow dan dermapen ke seluruh wajah. Larutan ini akan diserap ke dalam pori kulit dan bertindak merawat, sekali gus menampakkan muka berseri.

“Selesai rawatan ini, kami akan pakaikan topeng LED untuk membantu merangsang pengeluaran kolagen kulit serta memperbaiki keadaan kulit wajah,” katanya.

Kata Narqes, rawatan itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga hingga lima kali, dengan jarak sekitar tiga minggu, bergantung kepada keadaan kulit wajah wanita terbabit.

WAJAH perlu dicuci sempurna untuk kesan terbaik.
WAJAH perlu dicuci sempurna untuk kesan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 6:02 AM