Siti Nadirah Hafidzin


TERLALU taasub untuk cantik hingga sanggup mengetepikan rasa sakit, melanggar hukum agama selain perlu mengeluarkan belanja ratusan ringgit sebulan.

Sedar atau tidak, ramai wanita terlalu mengimpikan untuk memiliki kulit wajah sempurna, bersih, mulus, bersinar dan paling utama ingin kulit cerah!

Satu persatu rawatan wajah dicuba demi merealisasikan impian hati dan terbaru, rawatan sulam bedak menjadi pilihan utama kebanyakan wanita yang mahukan kulit wajah cerah dan bersinar.

Umum mengetahui rawatan sulam bedak berfungsi untuk menjadikan kulit wajah seseorang itu cantik dan bersih seperti sudah mengenakan bedak namun hakikatnya ramai yang keliru adakah bedak atau bahan yang digunakan pada wajah itu kekal? Selain itu, timbul pelbagai persoalan bagaimana sebenarnya rawatan ini dilakukan?

Ada pihak turut mempersoalkan mengenai hukumnya yang dikatakan menyebabkan wuduk tidak sah kerana air tidak terkena pada keseluruhan wajah yang sudah disulam dengan bedak.

ANTARA kaedah yang perlu dilakukan untuk rawatan sulam bedak.
ANTARA kaedah yang perlu dilakukan untuk rawatan sulam bedak.

Mengupas isu ini, pengusaha kecantikan Khailily Mohd Ridzuan berkata, rawatan sulam bedak mempunyai dua kaedah yang menggunakan dua jenis jarum berbeza.

“Rawatan sulam bedak pertama adalah rawatan wajah biasa yang ditambah dengan kaedah sulaman bedak menggunakan jarum nano dermapen dan serum krim BB. Ia tidak rasa sakit kerana serum itu diletakkan sedikit demi sedikit pada wajah sebelum digelek ke seluruh wajah menggunakan jarum tadi.

“Rawatan ini tidak bersifat kekal namun ia dapat membantu kulit wajah menjadi bersih dan berseri selepas tiga sesi rawatan yang perlu dilakukan selang tiga minggu,” katanya.

Menurutnya, rawatan itu hampir sama rawatan wajah biasa kerana wajah pelanggan dibersihkan terlebih dulu sebelum diletakkan serum sulam bedak.

“Tempoh rawatan kira-kira satu setengah jam dan pelanggan tidak akan berasa tidak selesa, kulit tidak cedera, tidak menggelupas selain tidak perlu melalui tempoh merehatkan wajah,” katanya.

JARUM nano dan serum krim BB.
JARUM nano dan serum krim BB.

SULAM BEDAK TATU

Khailily berkata, rawatan sulam bedak kedua adalah jenis tatu atau menggunakan teknik sulaman menggunakan jarum mikro.

“Pigmen atau warna akan dimasukkan dalam jarum sebelum ia dicucuk pada kulit wajah bagi meninggalkan kesan warna.

“Kesan itu akan kekal pada kulit satu hingga tiga tahun yang mana ia menyamai kaedah tatu,” katanya.

Menurutnya, teknik kedua itu tidak boleh dilakukan wanita Islam kerana ia menyebabkan warna yang dimasukkan dalam lapisan kulit bersifat kekal selama sekurang-kurangnya setahun.

“Pelanggan juga akan berasa sakit, kulit menjadi luka dan perlu disapu ubat kebas sebelum rawatan dilakukan. Ramai orang tersalah tafsir mengenai rawatan sulam bedak ini yang menjadikan ia tajuk perdebatan umum terutama dalam soal hukum,” katanya.

JARUM mikro.
JARUM mikro.

Tambahnya, perkara utama yang perlu dilakukan individu yang ingin mendapatkan rawatan sulam bedak ialah bertanya kaedah rawatan terlebih dulu.

“Jangan terus jalani rawatan tanpa tahu kaedah yang digunakan kerana rata-rata wanita hanya bertanya soal harga dan kesannya.

“Ini bukan perkara remeh untuk diambil mudah. Walaupun saya terbabit dalam bidang kecantikan namun saya tidak mahu pelanggan melanggar hukum agama,” katanya.

Seorang lagi pengusaha kecantikan Azliana Md Yusof berkata, ramai wanita kini mahu memiliki kulit cerah sehingga sanggup melakukan apa saja tanpa memikirkan kesan di kemudian hari.

“Kebanyakan rawatan sulam bedak yang dijalankan di negara ini adalah jenis tidak kekal namun saya tidak menolak kemungkinan ada segelintir pengusaha kecantikan yang menawarkan rawatan jenis kekal.

“Kekeliruan masyarakat turut mempengaruhi perniagaan kami. Ada yang terus menghukum dengan mengatakan rawatan sulam bedak ini adalah haram dan tidak boleh dilakukan tanpa mengetahui secara jelas mengenai kaedah rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:25 AM
DUA kaedah guna dua jenis jarum berbeza bantu kulit wajah jadi bersih dan berseri.
DUA kaedah guna dua jenis jarum berbeza bantu kulit wajah jadi bersih dan berseri.