CUCI wajah terlebih dahulu menggunakan pembersih jenis susu. Sapu ke seluruh wajah menggunakan kapas kemudian bersihkan dengan air.
CUCI wajah terlebih dahulu menggunakan pembersih jenis susu. Sapu ke seluruh wajah menggunakan kapas kemudian bersihkan dengan air.
Siti Zarinah Sahib

Wajah kurang berseri walaupun dirias solekan menjadi kerisauan wanita. Apatah lagi saat menanti kedatangan Aidilfitri sudah tentu setiap wanita mendambakan wajah cantik, cerah dan kekal segar tatkala dipadankan dengan busana idaman mereka.

Keadaan ini berlaku disebabkan timbunan sel mati berada di permukaan wajah. Apabila sel mati ini berkumpul ia menyebabkan kulit kelihatan kusam dan boleh menjejaskan penampilan.

Menurut pemilik Spa Alami Maziana Yahya, terdapat pelbagai sebab kulit menjadi kusam dan tidak berseri. Antara punca utama adalah tekanan yang menyebabkan enzim yang dihasilkan untuk mengawal emosi meningkat. Ini sekali gus mempengaruhi wajah dan kulit mudah berjerawat, kelihatan kusam, gatal-gatal dan bintik merah mulai muncul.

Lebih memburukkan keadaan apabila wanita kurang waktu rehat disebabkan sibuk melakukan kerja untuk menyambut lebaran. Bagi wanita berkerjaya dengan tekanan di tempat kerja serta memastikan anak-anak berada dalam keadaan baik menyebabkan wanita tidak mendapat tidur yang mencukupi sepanjang Ramadan.

“Kulit wajah memerlukan masa rehat yang cukup seperti anggota badan lain. Ini sangat penting untuk pertumbuhan semula sel kulit yang baru dan membuang sel kulit mati. Kesan tidak cukup rehat akan terserlah pada wajah, kulit kelihatan tegang dan kusam,” katanya yang menyarankan wanita mengambil air kosong mencukupi sepanjang berpuasa dan hari raya bagi memastikan kulit kekal lembap.

Kelembapan kulit akan menaikkan seri wajah, sekali gus menjadikan solekan tampak memikat.

Tambah Maziana, untuk mendapatkan kulit sihat bermula dengan rutin penjagaan wajah secara konsisten. Ia merangkumi membersih, menyegar dan melembap. Produk digunakan juga perlu bersesuaian jenis kulit bagi memastikan ia memberikan reaksi positif sebaik sahaja digunakan.

“Pembersih berasaskan susu mampu membersih jauh ke dalam terutama menanggalkan kesan solekan. Pastikan anda menggunakan produk berasaskan bahan semula jadi dan tiada kesan sampingan. Kemudian ambil sedikit skrub dan sapukan pada keseluruhan kulit. Urut perlahan-lahan dan bilas dengan bersih,” katanya.

BUAT urutan lembut bagi melancarkan pengaliran darah.
BUAT urutan lembut bagi melancarkan pengaliran darah.

Skrub boleh dilakukan dua kali seminggu bagi menanggalkan sel kulit mati dan mengembalikan kesegaran wajah. Kemudian sapuan penyegar bagi mengecilkan pori-pori kulit dan menjadikan warna kulit sekata.

“Selepas itu krim pencerah disapu ke seluruh bahagian kulit diikuti krim pelindung matahari. Ramai tidak tahu kepentingan krim pelindung matahari kerana ia membantu memastikan kulit tidak tua sebelum waktunya. Panas terik matahari membuatkan kulit cepat kering dan berkedut. Jadi krim pelindung matahari membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Krim pelindung matahari juga berkesan mengurangkan jeragat yang berlaku kepada wanita berusia 40 tahun ke atas. Namun ia perlu dimulakan pada usia 20-an supaya kulit tidak terus bermasalah. Menjaga pemakanan dengan mengambil banyak sayur-sayuran hijau dan buah-buahan juga menentukan keceriaan pada kulit.

“Pastikan pengambilan air mencukupi sekurang-kurangnya dua liter sehari diikuti makanan kaya vitamin dan serat. Elakkan pengambilan makanan berminyak dan berlemak kerana ia menjadi penyebab kulit berjerawat dan kurang sihat. Tukar cara memasak kepada merebus, kukus dan memanggang untuk kesihatan secara menyeluruh,” katanya.

Untuk kulit bermasalah ia memerlukan proses yang panjang untuk mendapatkan kesan positif. Pastikan anda mendapatkan rawatan secara konsisten sebulan sekali atau dua minggu sekali. Rawatan membantu mengatasi masalah, sekali gus mendapat wajah idaman.

“Ada wanita beranggapan kulit mampu dilindungi menggunakan solekan, tetapi sebenarnya tidak. Bersolek dalam keadaan kulit ditumbuhi jerawat lebih memburukkan keadaan. Ini kerana pori-pori akan tersumbat dan menyebabkan masalah jeragat semakin teruk. Oleh itu, pastikan jerawat dapat diatasi terlebih dahulu sebelum bercadang mengenakan solekan tebal,” katanya.

SAPU krim pencerah untuk mendapatkan warna kulit sekata.
SAPU krim pencerah untuk mendapatkan warna kulit sekata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 3:03 PM