AZLIANA tekad bantu individu ingin tampil cantik dengan harga berpatutan.
AZLIANA tekad bantu individu ingin tampil cantik dengan harga berpatutan.
Siti Nadirah Hafidzin

Diibaratkan seperti irama dan lagu, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Tidak kiralah seawal usia belasan tahun mahupun wanita yang mencecah usia 50-an, semuanya tetap mahu tampil menawan.

Selain susuk tubuh ramping serta kekal sihat dan cergas, kulit wajah antara elemen paling utama dititikberatkan wanita dalam menjaga penampilan setiap hari.

Bohonglah sekiranya ada wanita yang tidak menghiraukan keadaan wajahnya terutama membabitkan aspek kulit wajah cerah sekata, bebas cela dan anjal.

Malah, ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit dalam tempoh seminggu semata-mata untuk mendapatkan kulit wajah diidamkan.

Atas faktor mahu membantu wanita yang mengalami masalah kulit, Azliana Yusof yang mengusahakan BelleNina Spa & Academy di Bandar Puteri Puchong, Selangor tampil dengan pelbagai rawatan khas untuk kulit wajah pada harga berpatutan.

Spa khusus untuk membantu wanita yang mengalami pelbagai masalah kulit ini menjanjikan kelainan dan antara rawatan yang sering menjadi pilihan ialah Vempire Micro Needle.

Menurut Azliana, rawatan ini menggunakan konsep ‘mencederakan kulit’. Bunyinya agak menggerunkan, tetapi ia dilakukan dengan berhati-hati oleh juruterapi berkemahiran di mana jarum dicucuk ke kulit hingga ke lapisan dermis dan epidermis bagi menghasilkan kolagen.

“Apabila kolagen terhasil, di situlah proses pemulihan kulit berlaku secara semula jadi dan paling berkesan kerana ia bertindak daripada dalam bukan hanya secara luaran.

“Rawatan ini menyebabkan kulit wajah mengeluarkan darah selepas jarum dicucuk, namun tidak perlu dibimbangkan kerana ia selamat,” katanya.

Tambah Azliana, jumlah darah yang keluar selepas jarum dicucuk adalah berbeza antara individu kerana ia bergantung kepada pembuluh darah masing-masing.

TELITI ketika melakukan rawatan wajah kepada pelanggan.
TELITI ketika melakukan rawatan wajah kepada pelanggan.

“Ada yang bertanya adakah rawatan ini menyebabkan rasa sakit? Ya, sakit sedikit tetapi kebanyakan pelanggan dapat menahan kesakitan itu. Sebelum jarum dicucuk, kulit wajah dikebaskan terlebih dulu bagi mengurangkan rasa sakit ketika rawatan,” ujarnya.

Menurutnya, selain itu dia juga meletakkan serum asid hialuronik bagi membantu memberi kelembapan pada kulit wajah.

Kesakitan yang berbaloi

Soal keselamatan tidak perlu dibimbangkan kerana ia dilakukan dengan berhati-hati. Kaedah ini sesuai untuk menangani masalah jeragat, parut jerawat, kulit kendur, ton wajah tidak sekata, kulit kasar atau kusam dan kedutan.

“Namun, rawatan ini tidak sesuai dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai masalah jerawat yang teruk atau ruam.

“Pelanggan yang mempunyai masalah jerawat akan dirawat terlebih dulu dengan kaedah lain sekiranya mereka mahu melakukan rawatan ini,” katanya.

Azliana berkata, caj rawatan hanyalah RM300 untuk satu sesi dan ia lebih rendah berbanding tempat lain yang mengenakan caj sekitar RM500.

“Saya amat mementingkan hasilnya dan inilah sebabnya saya mengenakan caj yang berpatutan untuk membantu ramai wanita. Namun perlu diingat, rawatan ini perlu dilakukan beberapa kali bagi untuk mendapat hasil yang diidamkan,” ujarnya.

Menurut Azliana, pelanggan yang mahu mendapatkan sebarang rawatan disarankan membuat temu janji atau datang terus ke pusat rawatannya yang dibuka setiap hari pada Selasa hingga Ahad bermula jam 10.30 pagi hingga 6 petang dan 8.30 malam hingga 10.30 malam manakala setiap Isnin pada jam 2 petang hingga 6 petang saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:54 AM