NURSHAHIDAH tidak abaikan penjagaan wajah ketika di luar.
NURSHAHIDAH tidak abaikan penjagaan wajah ketika di luar.
Siti Zarinah Sahib

Anda seorang yang gemar bersolek atau membiarkan wajah polos tanpa sebarang warna solekan disebabkan tidak suka membawa beg mekap bersama? Kebanyakan wanita mempunyai barangan mekap kegemaran sendiri.

Ada yang hanya membawa produk asas seperti bedak padat dan pengilat bibir tetapi ada pula yang gemar bersolek tebal dan menuruti langkah demi langkah kerana merasakan wajah ‘kurang sempurna’ atau tidak berseri sekiranya tidak dirias lengkap.

Setiap wanita tentunya mempunyai pendapat masing-masing terutama dalam bab penampilan. Mungkin bagi yang gemar bersolek disebabkan ingin tampil sempurna walaupun hanya untuk ke pusat beli-belah. Ada pula merasakan mereka tidak kisah berpenampilan ringkas, asalkan diri berasa selesa.

Bagi Nurulhidayah Mohtar, tugasnya sebagai jurusolek sepenuh masa dan berpengalaman luas mendandan mempelai membuatkan dia perlu sentiasa tampil sempurna terutama ketika merias wajah pelanggan.

Sebagai jurusolek, penampilan diri sangat penting dan dia bertuah kerana mengetahui setiap kegunaan produk seperti bedak asas, pembayang mata dan gincu secara terperinci sebelum mendandan pelanggan.

“Ia menjadi kelebihan kepada saya dari segi pengetahuan dalam setiap produk solekan. Untuk itu saya lebih tahu mana yang sesuai dengan jenis kulit seseorang. Misalnya saya mempunyai jenis kulit kering jadi pemilihan bedak asas sangat penting.

“Saya gemar menggunakan jenis krim dan penutup cela terutama di bawah mata. Jadi dua produk ini perlu ada di dalam beg tangan saya. Keistimewaannya saya tidak perlu selalu membetulkan solekan dengan melekapkan span bedak kerana sebelum keluar wajah sudah disolek rapi menggunakan bedak asas dan pelindung cela,” katanya.

NURULHIDAYAH
NURULHIDAYAH

Memilih untuk tampil ringkas tetapi kelihatan segar, antara produk yang sering dibawa ke mana-mana adalah gincu matte yang boleh digunakan sebagai pemerah pipi dan pembayang mata, maskara, celak dan satu berus untuk sapuan bedak.

Setiap kali selepas solat dia dengan mudah mengenakan bedak asas, gincu dengan sedikit calitan ke pipi dan mata, celak dan maskara. Tidak sampai lima minit solekan selesai dilayangkan pada wajah.

“Bagi saya bersolek sangat penting kerana ia dapat menutupi masalah kulit. Jika malas, paling tidak pakailah bedak asas dan gincu. Ia sudah cukup untuk mengembalikan keremajaan kulit,” nasihatnya.

Mahu wajah tampak segar

Bagi perunding kecantikan Naliza Fazlin Rosnan, kekal bergaya dan tampil anggun sentiasa menjadi antara visi tatkala bertemu pelanggan. Untuk itu selain membawa dompet, beg kecil mengandungi set alat solek berjenama tidak pernah ditinggalkan. Set itulah yang akan digunakan setiap kali selepas solat atau dirasakan wajah semakin lesu dan perlu dirias semula.

“Saya bertugas sebagai perunding kecantikan Mary Kay, jadi saya perlu tampil yakin menggunakan produk ini kerana ia bukan sahaja sesuai kulit tetapi mudah digunakan. Kebiasaannya jika berada di pejabat selepas solat saya hanya memakai alat solek ringkas seperti krim CC, bedak asas, bedak debu bersama gincu dan pemerah pipi. Solekan ini hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk diselesaikan dan hasilnya sangat berkesan. Wajah tampak segar semula. Namun ada waktunya apabila bekerja pada waktu malam saya tidak memakai kesemuanya sebaliknya hanya mengenakan bedak asas dan gincu sahaja,” katanya.

NALIZA bersolek untuk penampilan diri.
NALIZA bersolek untuk penampilan diri.

Dia yang memiliki kulit normal dan kering tidak merasakan terbeban kerana perlu bersolek setiap waktu. Sebagai wanita penampilan adalah sangat penting. Sama ada ke pejabat atau bersantai bersama keluarga dia tidak pernah keluar rumah dengan wajah polos tanpa solekan. Paling tidak mengenakan celak, sedikit pemerah pipi dan gincu bagi menampakkan wajah yang segar.

Membawa kesemua barang solekan seperti penanggal alat solek, bedak asas, krim CC, gincu, bedak debu, pembayang mata, celak dan maskara di dalam beg tangan (yang diletakkan di dalam beg kecil) juga tidak membebankan dan menjadi masalah. Sebaliknya ia menjadi kebiasaannya dan dia akan berasa janggal jika kesemua produk ini tertinggal di rumah.

“Mungkin kerana gemar bersolek saya tidak mengambil masa yang lama untuk berdandan. Hanya dalam masa 10 hingga 20 minit untuk solekan yang lengkap ke majlis atau lima minit bagi solekan ringkas. Paling penting adalah sentiasa berlatih mengenakan solekan dan anda akan terbiasa melakukannya,” katanya.

Bawa set lengkap

Masalah kulit penuh jerawat satu ketika dulu diibaratkan sebagai perkara yang memalukan sehingga membuatkan Nurshahidah Nawi kurang gemar berdandan. Selepas berusaha memulihkan kulit dengan pemakaian produk organik akhirnya wanita berusia 26 tahun ini mampu memiliki kulit yang diidamkannya.

Sejak itu dia mula belajar bersolek dengan mengikuti setiap langkah demi langkah bermula dengan penggunaan bedak asas sehingga kepada gincu.

Walaupun terpaksa membawa bermacam jenis alat solek namun bagi Nurshahidah ia bukan satu masalah. Antara produk yang wajib ada di dalam beg tangan adalah pemerah pipi, pembayang mata, maskara, gincu dan produk penjagaan wajah Dermags termasuk pembersih, pelembap, bedak, penyegar dan serum.

“Memang ini di antara produk perlu ada di dalam beg comel saya yang dibawa setiap hari ke pejabat. Setiap kali solat saya pasti menjalankan rutin cucian wajah kerana inginkan kulit kembali bersih. Kemudian saya akan memakai bedak, diikuti pembayang mata, maskara, pemerah pipi dan gincu.

“Walaupun kelihatan banyak namun ia tidak mengambil masa yang lama untuk bersolek. Dalam masa lima hingga 10 minit solekan selesai dilakukan. Saya hanya melayangkan solekan nipis agar wajah kembali segar dan nampak sihat,” katanya.

Untuk solekan ke majlis pula barulah dia mengenakan solekan tebal terutama pada bahagian mata untuk tampil berbeza. Bersyukur kerana menemui produk rangkaian wajah terbaik dan sesuai kulit, kini Nurshahidah tidak mempunyai sebarang masalah. Setiap kali memakai mekap, ia kelihatan lebih terserlah dan tampil lebih anggun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:40 PM