ZAMRI bersama selebriti media sosial Nurdiana Nasir.
ZAMRI bersama selebriti media sosial Nurdiana Nasir.
MASKARA menjadikan bulu mata lebih lentik dan lebat.
MASKARA menjadikan bulu mata lebih lentik dan lebat.
PEMERAH pipi agar penampilan kekal menyerlah.
PEMERAH pipi agar penampilan kekal menyerlah.
GUNAKAN Lancome Summer Swing 2017 untuk sapuan mata.
GUNAKAN Lancome Summer Swing 2017 untuk sapuan mata.
PEMBAYANG mata menggunakan rona keemasan.
PEMBAYANG mata menggunakan rona keemasan.
SAPUAN bedak asas bagi menutup cela dan menjadikan ton kulit lebih sekata.
SAPUAN bedak asas bagi menutup cela dan menjadikan ton kulit lebih sekata.
Siti Zarinah Sahib

Jika ditanya jujur kepada wanita, apa yang mereka inginkan selepas bersolek sudah pasti jawapan diterima hampir sama ‘ingin cantik dan jelita’.

Namun ramai yang tidak dapat mengungkapkan secara terperinci makna di sebalik cantik itu kerana ia bersifat subjektif. Pada asasnya cantik pada mata kita tidak semestinya cantik pada mata mereka.

Namun, bagi golongan profesional yang bergiat dalam industri kecantikan terutama jurusolek, sudah pasti mempunyai kriteria tersendiri mengenai kecantikan yang dinilai berdasarkan teknik solekan, jenis alat solek, warna kulit dan gaya solekan terkini.

Jika semua ini digabungkan, ditambah pula dengan pengalaman merias ratusan, malah ribuan wanita sudah pasti ia memberikan penghasilan cukup sempurna. Walaupun jurusolek hanya mengadunkan secalit gincu, bedak asas dan segaris celak, namun cukup memberikan kesan ‘wow’ kepada wanita.

Ini diakui Jurusolek Profesional Antarabangsa Lancome Zamri Zainol yang mengatakan, selain pemilihan alat solek, pengalaman dalam bidang solekan menjadi kriteria utama yang membezakan penghasilan solekan seseorang.

“Ini kerana teknik sapuan menerusi jari-jemari yang melakar warna di atas wajah menghasilkan penyudahan berbeza manakala paduan teknik serta rona alat solek sangat penting bagi memastikan solekan menepati cita rasa empunya diri mengikut acara yang dihadiri mereka,” katanya.

Menggunakan alat solek terkini Lancome Summer Swing 2017, Zamri tidak memerlukan masa yang lama merias selebriti media sosial Nurdiana Md Nasir, 30, untuk menghadiri acara makan malam eksklusif kerana ibu kepada pasangan kembar ini memiliki kulit cerah dan mulus tanpa sebarang cela.

“Hanya pilih rona sesuai terutama bedak asas dan pembayang mata serta teknik mengaplikasi pada wajah. Menggunakan rangkaian warna terkini Lancome, ia bukan saja memudahkan solekan, tetapi memberikan kesan lebih menyerlah,” katanya.

Ia dimulakan dengan sentuhan bedak asas kemudian dilapisi bedak padat bagi memberikan kesan sekata ke atas kulit. Rona bedak asas yang sedikit gelap daripada kulit dipilih agar warna kulit tidak terlalu berbeza selepas disolek.

Langkah seterusnya ialah sapuan pembayang mata menggunakan rona segar seperti keemasan ditambahkan merah jambu menjadikan mata lebih galak bersinar. Kemudian beralih kepada celak dan maskara yang bertujuan membentuk mata, memanjang dan melebatkan bulu mata.

“Solekan mata sangat penting dan perlu diberikan tumpuan. Mudahnya kerana Diana mempunyai bulu mata yang cantik dan lebat, sedikit olesan maskara ia dapat menjadikan mata lebih cantik dan memukau,” jelasnya.

Menggunakan produk yang sama, Lancome Summer Swing, ia bukan saja digunakan sebagai bedak asas, tetapi boleh membentuk bayangan (shading) pada wajah dan juga pemerah pipi. Mempunyai tiga warna berbeza untuk edisi terhad ini, ia memudahkan wanita terutama wanita berkerjaya merias dalam waktu singkat, namun hasilnya sangat mengujakan.

“Palet warna Lancome Summer Swing 2017 ini hadir untuk mereka yang gemar bersolek, namun terlalu sibuk untuk mengikut langkah utama dalam solekan. Sebaliknya mereka hanya perlu menggunakannya sebagai bedak asas, pemerah pipi atau boleh juga disapu pada mata. Ia sudah cukup menyerlahkan penampilan, lebih penting ia mudah dibawa ke mana saja,” kata Zamri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 3:03 AM