DARI kiri Dr Pang, Pengurus Besar GSK, Ramil Burden dan Dr Zainuddin ketika pelancaran sambutan Hari COPD Sedunia.
DARI kiri Dr Pang, Pengurus Besar GSK, Ramil Burden dan Dr Zainuddin ketika pelancaran sambutan Hari COPD Sedunia.
Siti Zarinah Sahib

“Tanda pertama yang saya alami ialah rasa tercungap-cungap apabila mengejar bas dan berjalan diikuti kesukaran untuk bernafas. Saya mulai batuk dan apabila batuk ia sukar berhenti. Ini ditambah tabiat merokok sejak berusia 20-an dan ia sukar ditinggalkan.

“Setiap hari saya menghabiskan dua hingga tiga kotak rokok. Kerjaya dalam bidang seni dan rekaan menyebabkan saya sering tertekan. Akibatnya rokok dijadikan alasan untuk mendapat idea kreatif untuk pelanggan.

“Ia berlanjutan selama 30 tahun. Sehingga satu hari saya mengalami batuk yang berpanjangan. Nafas tersekat-sekat. Lama-kelamaan saya bukan hanya bukan alah pada asap rokok tetapi apabila menyedut karbon monoksida daripada kenderaan, saya mulai sesak nafas.

“Gejala yang saya alami ini berlarutan selama empat hingga lima tahun sebelum berjumpa doktor dan selepas melalui pelbagai ujian, doktor mendapati paru-paru saya berfungsi pada tahap 65 peratus sahaja.

“Pada masa itu, saya langsung tidak tahu mengenai penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan kesannya kepada hidup saya,” demikian menurut Saleh Hanafi, 56, antara pesakit COPD yang hanya mendapatkan rawatan selepas disahkan menghidap penyakit itu.

Seperti Saleh, ramai tidak tahu mereka menghidap COPD. Ini kerana pada peringkat awal, penyakit mungkin hanya memperlihatkan gejala ringan yang mungkin tidak disedari.

Lama-kelamaan apabila dibiarkan, aktiviti harian menjadi semakin sukar dan penghidap mungkin mengalami eksaserbasi iaitu sesak nafas, batuk dan pengeluaran kahak yang teruk dan serius. Ia boleh berlarutan selama beberapa hari ataupun minggu.

Di seluruh dunia dipercayai ada 384 juta orang menghidap COPD dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan COPD akan menjadi punca kematian yang ketiga utama di seluruh dunia menjelang 2030.

Di Malaysia, kajian Beban Penyakit Global menunjukkan COPD sebagai punca ketujuh kematian awal atau pramatang di Malaysia pada 2010.

Menurut Pakar Perunding Perubatan Umum dan Pernafasan, Hospital Pakar KPJ Damansara dan Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia Datuk Dr Zainudin Md Zin, COPD adalah penyakit paru-paru progresif yang membuatkan seseorang itu sukar untuk bernafas.

Ia biasanya disebabkan pendedahan jangka panjang kepada asap rokok dengan kira-kira 89 hingga 97 peratus daripada penghidap dikenal pasti sebagai perokok atau bekas perokok.

“Namun, merokok bukan satu-satunya punca COPD. Faktor lain termasuk terdedah terlalu lama kepada asap, habuk dan bahan kimia di tempat kerja serta asap daripada aktiviti di rumah. Asap atau pencemaran luaran mahupun dalaman, boleh meningkatkan risiko COPD,” katanya.

Tambah beliau, gejala COPD paling lazim ialah batuk kronik, kahak yang banyak, tercungap-cungap atau sesak nafas serta terasa ketat pada dada. Situasi ini menyebabkan pesakit tercungap-cungap akibat sesak nafas dan lama-kelamaan individu yang mengalami keadaan ini menjadi tidak aktif.

Kadangkala, aktiviti rutin dan mudah seperti mandi, menukar pakaian, berjalan menaiki atau menuruni tangga lama-kelamaan boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan. Gejala COPD akan menjadi bertambah teruk sekiranya pesakit mendapat demam selsema.

Menurut Dr Zainudin, walaupun kebanyakan pesakit COPD adalah lelaki, ada pesakit daripada kalangan wanita atau perokok tegar. Kesan yang dialami pesakit wanita tetap sama namun apa yang membimbangkan terdapat peningkatan dalam bilangan pesakit wanita disebabkan pertambahan perokok wanita yang bermula pada usia belasan tahun.

“Walaupun tumpuan diberikan kepada lelaki, kadar peningkatan perokok wanita tidak harus dipandang ringan. Ini kerana kesan yang dialami mereka tetap sama terutama dari segi fizikal dan emosi,” katanya.

Boleh dicegah

Menerangkan lebih lanjut, jelas Dr Zainudin, COPD terjadi apabila berlaku penyempitan sebahagian salur pernafasan sehingga menyebabkan pengaliran udara keluar dan masuk ke paru-paru menjadi terhad.

Ia ditandai dengan gejala biasa termasuk sesak nafas, khususnya apabila aktif, batuk berkahak yang berterusan, sering mendapat jangkitan dalam dada dan pernafasan sentiasa berdehit.

Namun, gejala ini mungkin berlainan antara individu. Gejala COPD muncul secara perlahan-lahan, biasanya menjadi nyata apabila individu itu berusia 40 hingga 50 tahun.

COPD terdiri daripada dua jenis iaitu bronkitis kronik dan emfisema. Bronkitis kronik dikaitkan dengan batuk berkahak yang berpanjangan menyebabkan otot pada saluran udara dalam paru-paru membengkak, menyempit dan mengalami keradangan. Keadaan ini menyebabkan penghasilan mukus sehingga menghalang pengaliran udara dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

Manakala emfisema pula berlaku apabila dinding paru-paru kehilangan sifat elastik dan menggelembung akibat udara terperangkap di dalamnya.

“Ini menyebabkan dinding di pundi-pundi udara rosak sehingga mengakibatkan berlakunya kekurangan kawasan permukaan untuk pertukaran udara,” katanya.

Ramai beranggapan COPD dan asma dua penyakit yang sama berdasarkan tanda yang hampir serupa. Namun wujud perbezaan di antara kedua-duanya.

“Untuk asma, saluran pernafasan boleh kembali normal menggunakan ubat sedutan atau inhaler namun kesempitan saluran pernafasan akibat COPD tidak dapat dikembalikan kepada keadaan normal sepenuhnya. Rawatan cuma dapat mengurangkan kesannya sahaja,” katanya.

Menurut Pakar Perunding Pernafasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Torasik Malaysia Profesor Madya Dr Pang Yong Kek, tiada cara lain mencegah COPD kecuali dengan berhenti merokok.

“Bagaimanapun, jika seseorang sudah disahkan menghidap COPD, ada rawatan yang membantu melegakan gejala penyakit ini, menambah baik kualiti hidup pesakit dan mengurangkan risiko kematian,” katanya.

Walaupun COPD tidak boleh sembuh sepenuhnya, namun ia boleh dirawat. Apa yang lebih penting ialah COPD boleh dicegah. Sasaran utama rawatan adalah untuk mengurangkan gejala dan mengelak komplikasi atau mengawal daripada melarat dengan kesan sampingan minimum.

Sokongan untuk pesakit

Dr Pang berkata, COPD didiagnosis menggunakan ujian ringkas dikenali sebagai spirometri yang berfungsi mengukur kekuatan pernafasan (menarik dan menghembus) serta selaju mana udara dihembus keluar.

Ujian ini akan mengesan penyakit COPD dan juga menentukan tahap penyakit sama ada sederhana, teruk dan sangat teruk. Ia amat mudah tanpa memerlukan suntikan atau ujian darah.

Untuk ujian ini, pesakit hanya perlu menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus keluar semua udara melalui satu tiub yang dipasang kepada mesin spirometer. Kandungan udara dalam paru paru boleh dikira dan tahap penyakit COPD ini boleh diketahui.

“Namun begitu kebanyakan pesakit sering mengabaikan pemeriksaan kesihatan sehingga keadaan bertambah teruk. Akibatnya, ketika diagnosis lebih 50 peratus fungsi paru-paru mengalami kegagalan. Selain itu, COPD juga boleh dirawat dengan antibiotik, terapi oksigen, pemulihan pulmonari dan pembedahan,” katanya.

Sempena sambutan Hari COPD Sedunia tahun ini, Yayasan Paru-Paru Malaysia dan Persatuan Torasik Malaysia, dengan sokongan GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK), meneruskan usaha menangani keperluan pendidikan pakar penjagaan kesihatan profesional dan individu yang berdepan dengan risiko COPD di seluruh negara, untuk membolehkan mereka memahami dan menguruskan penyakit dengan lebih baik.

Susulan pelancaran bahan pendidikan ‘Every Breath Matters’ pada 2016, yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap COPD dan gejalanya, GSK melancarkan bahan digital kepada kepada individu yang didiagnosis dengan COPD.

Laman Web COPD Choices akan menyediakan beberapa halaman maklumat dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia, termasuk video daripada pakar tempatan untuk membantu menyokong pesakit dalam pengurusan penyakit mereka.

Naib Presiden dan Pengurus Besar, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd Malaysia Ramil Burden menegaskan, selama lebih 40 tahun GSK melabur dalam penyelidikan pernafasan mencipta dan memperbaiki ubat-ubatan yang membawa transformasi mengenai rawatan penyakit pernafasan seperti COPD.

“Kami mendapati setiap pesakit COPD mempunyai cabaran dan keperluan yang unik. Menerusi pelancaran digital laman web COPD Choices di Malaysia, kami boleh terus menyokong individu yang menghidap COPD untuk terus menikmati sepenuhnya hidup ini.”

Untuk maklumat lanjut mengenai COPD, boleh melayari laman COPD Choices di https://health.gsk.my/copd_choices.html.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 12:00 AM