SUKARELAWAN innisfree yang tidak sabar menyumbang bakti memulihkan hutan paya bakau.
SUKARELAWAN innisfree yang tidak sabar menyumbang bakti memulihkan hutan paya bakau.
Norlaila Hamima Jamaluddin

Melihat deretan anak pokok yang perlu ditanam membuatkan sukarelawan berasa teruja, apatah lagi bagi mereka yang kali pertama menyertai usaha menghijaukan alam sekitar.

Sukarelawan muda ini sedar, sumbangan mereka amat kecil, tetapi jika dilakukan secara berterusan, ia mampu memberi impak besar kepada kehidupan apatah lagi dalam keadaan cuaca dunia yang sentiasa mengalami perubahan kesan tindakan manusia sendiri.

Paya gambut contohnya, adalah ekosistem penting untuk mengawal banjir, menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai hidupan alam yang unik dan paling utama ia turut membantu mengawal suhu bumi.

Walaupun liputan paya gambut hanya tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, ia bertanggungjawab menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding hutan lain. Bayangkan kesan yang akan kita alami jika ekosistem paya gambut ini musnah atau lenyap akibat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah golongan yang hanya mementingkan keuntungan.

Biasanya paya gambut ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada pembangunan, perladangan atau aktiviti pertanian haram. Akibatnya, air disalirkan keluar yang menyebabkan jajaran pengawal banjir ini mengalami kekeringan dan musnah.

Menyedari hakikat ini, jenama kecantikan Korea Selatan, innisfree mengambil inisiatif memelihara paya gambut dengan menyertai program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan Global Environment Centre (GEC) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

NAGARAN menunjukkan cara betul menanam anak pokok.
NAGARAN menunjukkan cara betul menanam anak pokok.

GEC adalah pertubuhan tiada berkeuntungan yang sudah terbabit dalam usaha melindungi alam sekitar ini sejak 19 tahun lalu. Mereka mempunyai kepakaran dan pengetahuan meluas dalam memulihara sungai, paya gambut, tanah gambut selain pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan.

Dalam inisiatif ini, sukarelawan innisfree berganding bahu menanam anak pokok dengan sasaran ia dapat menyelamatkan dan memulihkan satu hektar hutan paya gambut menjelang 2021.

Bagaimanapun, inisiatif berkenaan tidak akan mencapai hasilnya jika tiada penjagaan dan pemantauan berterusan apabila pokok ditanam perlu disiram, dibuang rumput dan benih yang mati perlu diganti.

Menurut wakil GEC merangkap Koordinator Program Hutan dan Pantai Nagarasan Rengasamy, kita sering terlepas pandang penjagaan hutan paya gambut walaupun tahu kepentingan dan fungsinya.

“Kami berharap dengan inisiatif bersama innisfree ini, lebih ramai orang akan tahu peranan dan sumbangan hutan paya gambut kepada kita. Kami harap ramai akan tampil dan mengambil langkah proaktif dalam menyokong melindungi dan memulihara hutan paya gambut.

“Kami gembira apabila semakin banyak syarikat menunjukkan minat yang bukan saja membabitkan penanaman tetapi turut terbabit dalam penjagaan jangka panjang untuk memastikan pokok yang ditanam hidup subur,” kata wakil dari Jabatan Perhutanan Hutan Negeri Selangor.

Mendengar penerangan berkenaan, sukarelawan yang terdiri daripada pengguna produk innisfree dan rakan mereka tidak sabar untuk menyumbangkan tenaga di Hutan Simpan Raja Musa di Kuala Selangor.

DUA sukarelawan tekun berganding bahu menanam anak pokok.
DUA sukarelawan tekun berganding bahu menanam anak pokok.

Dalam kempen Make-A-Knot itu, sukarelawan belajar mengenai kepentingan penanaman pokok berterusan yang membabitkan penjagaan dan penyelenggaraan jangka panjang bagi memastikan pokok tumbuh dan mencapai umur matang bagi membentuk hutan.

Menurut Pengurus Besar Jenama innisfree Malaysia Johnny Nam, kempen berkenaan adalah program tanggungjawab sosial pertama jenama terbabit dan berasa sangat teruja melihat sambutan memberangsangkan yang diberikan oleh ‘peminat’ innisfree.

“Saya gembira ramai yang rela mengorbankan masa rehat dengan menyertai program ini demi menjaga khazanah Malaysia,” katanya.

Melalui program berkenaan, bermakna Malaysia sudah termasuk dalam program inni-forest yang dijalankan di seluruh dunia. Projek penanaman pokok sudah diadakan di banyak negara bermula dengan hutan Gotjawal di Korea, diikuti di Mongolia, China, Hong Kong, Thailand dan Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 12:54 PM