NOR Hashimah sedia beberapa pakej berpatutan sesuai dengan kemampuan pelanggan.
NOR Hashimah sedia beberapa pakej berpatutan sesuai dengan kemampuan pelanggan.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Urut sudah lama menjadi kaedah rawatan banyak masyarakat di dunia, termasuk Melayu dan kini semakin diterima di negara Barat malah kemahiran mengurut kini boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan jika bersungguh-sungguh.

Rawatan melalui urutan sudah diketahui sebagai alternatif dunia perubatan bagi merawat pelbagai penyakit, sama ada penyakit baru, lama, ringan mahupun kronik.

Namun, biasanya kita kaitkan urut dengan masalah terseliuh, lenguh badan atau salah urat tetapi rawatan melalui urutan juga boleh membetulkan perjalanan darah malah ada yang berupaya memulihkan kemampuan seksual sama ada lelaki atau wanita.

Mengurut memerlukan kemahiran, terutama bagi urutan selepas bersalin yang ‘wajib’ dilengkapkan dengan pengetahuan tertentu bagi memastikan ia berkesan memberi kesegaran dan mengembalikan kedudukan rahim ke tempat asalnya.

Perkhidmatan mengurut selepas bersalin semakin sukar diperoleh sekarang, terutama di bandar besar selain bayarannya mahal menyebabkan mereka yang mempunyai kemahiran itu menjadi rebutan.

Bagi pengusaha penjagaan berpantang dan spa mobil, Nor Hashimah Ishak, kemahiran mengurut yang diwarisi daripada ibu dan arwah nenek menjadi batu loncatan untuknya meneruskan warisan berharga keluarganya untuk membantu ramai wanita terutama ketika berpantang.

Katanya, penjagaan selepas bersalin secara tradisional ada kalanya dipandang enteng oleh sesetengah wanita moden dan menganggapnya ketinggalan zaman. Hakikatnya, amalan turun-temurun itu dipercayai mampu menyihatkan bukan saja luaran tapi juga dalaman wanita.

“Pelbagai amalan tradisional seperti pemakaian bengkung yang betul, amalan bertungku selepas bersalin, mandian ketika dalam pantang, pemakanan betul ketika mengandung dan selepas bersalin dapat membantu wanita mengembalikan kesegaran tubuh.

“Apatah lagi bagi ibu berkerjaya, kesibukan tugas menyebabkan mereka berdepan tekanan dan apabila tidak dijaga dengan betul ketika berpantang, banyak masalah kesihatan timbul termasuk meroyan,” katanya.

Wanita berusia 39 tahun ini berkata, dia beruntung kerana sejak usia muda sudah didedahkan dengan kaedah berpantang cara tradisional kerana ibunya sendiri mahir mengurut.

Meskipun khidmat penjagaan berpantang dimulakan secara serius sejak dua tahun lalu, Nor Hashimah mengakui sudah biasa menjaga ibunya berpantang semasa remaja dan melihat ibu dan nenek mengurut pelanggan.

Dari situ timbul minat namun rezeki masih belum menyebelahinya untuk membabitkan diri secara serius dalam perbidanan sehinggalah usianya 30-an, dia mula terfikir mengapa tidak meneruskan warisan keluarga dalam bidang itu.

TERUSKAN LEGASI IBU

Langkah pertamanya dengan mengambil kursus pos natal bagi mendapatkan lebih banyak ilmu dan pengiktirafan meskipun dia sudah ada pengalaman dan kemahiran mengurut orang.

“Saya dan adik mengambil kursus secara intensif selama tiga bulan untuk memantapkan kemahiran kami. Selepas tamat, saya diminta ibu untuk mengurutnya dan dia mengatakan saya boleh pergi jauh dalam bidang ini.

“Pada peringkat awal saya dan adik bergerak bersama mengurut dari rumah ke rumah dan menawarkan pakej mudah, beberapa bulan selepas itu permintaan khidmat kami semakin menggalakkan hingga tak menang tangan.

“Jadi, kami berdua buat keputusan membawa haluan sendiri kerana masing-masing sudah mendapat pelanggan tetap. Kemudian saya sertai MyBidan House yang menaungi lebih 50 juruterapi di bawah satu bumbung.

“Sama ada bergerak berkumpulan atau perseorangan, kelebihan bernaung di bawah organisasi ini adalah dapat menawarkan khidmat yang lebih profesional dan dipercayai kerana kami juga dilatih menambah ilmu perbidanan,” katanya.

Selain itu katanya, MyBidan House yang disertai sejak awal tahun lalu juga memberinya ruang membesarkan jaringan apatah lagi apabila dikaji semakin ramai ibu bersalin terutama di ibu kota yang mahukan bantuan penjagaan berpantang tradisional.

Sebagai kumpulan terawal di bawah MyBidan House katanya, dia antara 14 juruterapi yang dipilih sebagai kaunsel yang menjadi rujukan badan itu untuk membantu dari segi pemasaran dan promosi berkaitan perbidanan Melayu.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, memahami kos sara hidup yang perlu dihadapi masyarakat di bandar, dia menyediakan beberapa pakej berpatutan sesuai dengan kemampuan masing-masing.

Mengenai khidmat rawatan dan penjagaan berpantang, menurutnya, terdapat tiga fasa selepas berpantang yang perlu diberi perhatian dalam rawatannya.

Katanya, perkara paling penting ketika fasa pertama atau awal berpantang adalah mandi herba sehingga 44 hari, bertungku, berbengkung, param, tapel dan pilis.

Kelebihan tapel misalnya, iaitu sapuan herba di perut bagi menghilangkan masalah buncit atau kulit merekah, membantu proses pengecutan rahim, memudahkan pengeluaran darah kotor dan mengempiskan perut disebabkan kandungan herba yang agak panas selain mencantikkan kulit.

“Ramai suka ambil jalan mudah dan semuanya mahu segera, jadi mereka tidak hirau kepentingan berpantang tradisi. Saya selalu nasihat pelanggan terutama kurang berkemampuan, saya saran ambil pakej tiga hari dulu, sebab penjagaan dari awal itu wajib termasuk urutan.

“Ada juga yang ambil pakej tujuh hari, mungkin lebih sedap sikit. Kita juga boleh pantau pengecutan rahim sebab kalau pantang betul-betul sebenarnya seawal empat ke lima hari rahim boleh mengecut. Bagaimanapun, beberapa hari awal selepas bersalin tidak boleh sengkak, sebab rahim masih bengkak,” katanya.

Mengulas lanjut Nor Hashimah berkata, tiga atau empat hari selepas bersalin sudah boleh mulakan rawatan atau mengikut tahap kesihatan ibu. Jika masih lemah rawatan tidak boleh fokus pada urutan.

Dia turut menyarankan ibu bersalin menyediakan tungku elektrik untuk bertungku secara ringan ketika berada di hospital bagi membuang angin dan melegakan perut selain sudah boleh mulakan mandian herba dalam uncang yang kini mudah didapati di pasaran jika bersalin normal dan tiada masalah lain.

Dalam fasa kedua, biasanya hari ke-21 berpantang, juruterapi akan melihat sama ada rahim sudah kembali ke tempat asal atau belum. Jika kalau belum balik ke tempat asal katanya, bermakna perlu fokus menjaga pantang secara serius.

“Fasa ini, kalau boleh sengkak, kita akan sengkak jika rahim sudah tidak bengkak. Biasanya fasa ini lebih kepada urutan dan tangas, selain lulur herba seperti halia atau beras yang lebih fokus untuk kulit,” katanya.

Fasa penutup pantang pula katanya pada hari ke-33, biasanya ibu dimandikan dengan air pati aura bunga atau limau, bertangas dan ukup wangi. Air ini diratakan ke seluruh badan termasuk vagina selain lulur herba wangi, urut penutup pantang, sengkak punggung dan peranakan.

Dalam pada itu katanya, ramai ibu beranggapan bertungku selama tiga hari sudah mencukupi sebaliknya bertungku amat baik diamalkan setiap hari hingga habis pantang, begitu juga mandian herba. Kedua-dua kaedah ini katanya menjadi pengganti kepada urutan.

“Kalau kita dalam keadaan tidak berpantang pun, masih boleh mengamalkan kaedah penjagaan dalam pantang seperti bertungku, mandi herba, pilis, bertangas dan berbengkung kerana ia sangat baik untuk kesihatan luaran dan dalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 1:52 PM