MINYAK kelapa dara adalah bahan semula jadi yang tinggi khasiat kepada kesihatan.
MINYAK kelapa dara adalah bahan semula jadi yang tinggi khasiat kepada kesihatan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERUBATAN tradisional Melayu tidak menggalakkan ibu selepas bersalin, khususnya pada awal tempoh berpantang makan telur ayam.

Ini kerana dibimbangi lukanya boleh bernanah terutama kelahiran melalui pembedahan.

Sebaliknya, dalam perubatan moden tiada larangan itu bahkan digalakkan mengambil sumber protein ini kerana ia mempercepatkan proses penyembuhan.

'Percanggahan' ini sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu sama ada mahu memilih perubatan tradisional Melayu atau perubatan moden untuk penjagaan diri semasa berpantang.

Dekan Sekolah Perubatan Tradisional Melayu, Genovasi University College, Prof Adjung Mohd Adzhar Abd Latif berkata, perubatan tradisional Melayu mempunyai falsafah dan perbahasan ilmu tersendiri.

Menurutnya, ia diwarisi secara turun-temurun daripada nenek moyang.

"Selain pengamal, Kitab Tibb adalah antara rujukan utama bagi pengamalan perubatan tradisional Melayu.

"Di samping perancangan, usaha melangkah ke arah kajian penyelidikan secara saintifik giat dilakukan untuk mencapai tahap perubatan berasaskan pembuktian (Evidence Based Medicine).

"Apabila sudah mencapai tahap ini (perubatan berasaskan pembuktian) maka tiada lagi keraguan terhadap kemampuan rawatan itu (rawatan tradisional Melayu) untuk lebih diyakini sebagai pilihan perubatan yang selamat dan berkesan.

"Dalam pemahaman dan pegangan perubatan tradisional Melayu, luka melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan akan menjadi nanah jika tidak dijaga dengan betul apabila makan telur ayam.

"Ini sudah terbukti melalui pengalaman dan makmal kehidupan, tetapi bukan melalui makmal saintifik," katanya.

Beliau yang juga pengamal perubatan tradisional Melayu berkata, rawatan tradisional Melayu dikategorikan di dalam bidang Perubatan Tradisional dan Komplimentari oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Akta 775 (Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016) juga sudah dilulus dan diwartakan.

"Kemudian, fasa pertama akta dilaksanakan dengan penubuhan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplimentari (T&CM Council) pada 2017. Saya seorang daripada anggota tetap yang dilantik sehingga kini.

"Fasa kedua akta pula baru saja diisytiharkan pada 1 Mac lalu iaitu pelaksanaan pendaftaran pengamal.

"Kini perubatan tradisional dan komplimentari sudah berada dalam arus perdana dan bukan lagi perubatan kelas kedua sebagaimana persepsi ramai sebelum ini," katanya.

Katanya, kerajaan berusaha bersungguh-sungguh mengangkat martabat perubatan tradisional dan komplimentari yang terbukti berupaya bukan hanya menjadi pelengkap kepada industri perubatan, malah mampu menyumbang pendapatan tinggi kepada negara.

MADU tualang digunakan sebagai ramuan dalam perubatan Melayu.
MADU tualang digunakan sebagai ramuan dalam perubatan Melayu.

"Di samping kekayaan biodiversiti dan kepelbagaian perubatan tradisional dan komplementari, kita mempunyai keistimewaan dan keunikan iaitu amalan perubatan tradisional Melayu yang tidak dimiliki negara lain," katanya.

Menurutnya, terdapat empat cabang amalan perubatan tradisional dan komplimentari yang diiktiraf KKM iaitu urutan, herba, bekam dan penjagaan ibu selepas bersalin.

Jelasnya, bagi urutan, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu urutan kesegaran dan urutan terapi serta penjagaan.

"Herba pula ialah rawatan menggunakan tumbuhan herba dan bahan alami sama ada dimakan atau digunakan serta lain-lain.

"Ketiga adalah bekam yang terbahagi kepada dua jenis iaitu bekam angin dan bekam basah (mengeluarkan darah).

"Cabang amalan terakhir ialah penjagaan ibu selepas bersalin. Ia sangat popular dan rawatan ini mengikut acuan perubatan Melayu," katanya.

MOHD Adzhar menunjukkan cara urutan kaki selepas bangun tidur.
MOHD Adzhar menunjukkan cara urutan kaki selepas bangun tidur.

Mohd Adzhar berkata, masyarakat Melayu masih kuat mengamalkannya dan jika tidak dipelihara dan dipulihara, ia akan dilupakan begitu sahaja.

"Ini kerana ramai generasi muda sudah tidak terlalu mengikut dan mengamalkannya sama ada daripada segi pemakanan, penjagaan, kaedah rawatan atau lainnya.

"Rawatan penjagaan ibu selepas bersalin sudah sampai ke Eropah dan Timur Tengah. Pengamal perubatan ini sudah berada di negara berkenaan untuk menyebarluaskan ilmu terbabit," katanya.

Katanya, ada wanita warga Amerika Syarikat pernah menjalani rawatan penjagaan ibu bersalin ketika berada di Malaysia.

"Apabila pulang ke negara asal, dia merasai kebaikan daripada rawatan berkenaan.

"Kemudian dia kembali semula ke negara ini bagi mendapatkan rawatan lanjutan selepas bersalin," katanya.

Menyentuh sejarah perubatan tradisional Melayu, beliau berkata, pengamalannya dipercayai antara yang terawal bagi bidang perubatan tradisional dan komplementari.

"Menerusi penelitian daripada pembacaan, saya mendapati amalan bertungku dan berdiang sudah diamalkan sejak zaman Nabi Adam AS yang diajar kepada Siti Hawa AS untuk diamalkan.

MOHD Adzhar
MOHD Adzhar

"Amalan, petua dan pantang larang ini masih diteruskan hingga kini serta menjadi amalan utama dalam rawatan penjagaan ibu bersalin.

"Kebaikan berdiang di antaranya adalah untuk mengecutkan rahim dan mengeluarkan sisa darah yang tertinggal dalam rahim.

"Bertungku pula membantu mengecut rahim dan membuang angin serta mengembalikan kesihatan dalaman organ peranakan" katanya.

Mohd Adzhar berkata, perubatan tradisional dan komplementari perlu mempunyai sistem pembelajaran yang sistematik dan formal di institut pengajian tinggi (IPT) iaitu pada tahap kelulusan ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD).

"Ini untuk memperluaskan lagi rawatan berkenaan, bukan sekadar rawatan dan penjagaan kesihatan, tetapi satu amalan kehidupan serta keberadaban bangsa ke arah menikmati kesejahteraan hidup sihat yang diinginkan.

"Setakat ini pengajian perubatan tradisional dan komplimentari hanya pada peringkat diploma lanjutan," katanya.

Katanya, berbanding perubatan Cina, misalnya, ia lebih ke hadapan kerana sudah mempunyai kelulusan pengajian hingga tahap ijazah sarjana dan PhD.

"Sudah tiba masanya perubatan tradisional dan komplementari mempunyai pusat rawatan berskala besar. Tambahan pula, pendekatannya adalah secara holistik yang merangkumi bukan hanya jasad (fizikal), tetapi meliputi aspek jiwa dan minda.

"Saya mengharapkan amalan perubatan tradisional dan komplementari khususnya bidang amalan perubatan tradisional Melayu dapat diamalkan secara profesional.

"Selain itu, diangkat martabatnya agar berada pada kedudukan yang lebih diyakini dan disegani untuk ditawarkan ke seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 7:00 AM