VAKSIN COVID-19 keluaran Pfizer. FOTO AFP
VAKSIN COVID-19 keluaran Pfizer. FOTO AFP
Agensi

Berlin: Pesakit lelaki Jerman berusia 62 tahun yang tidak mahu mendengar nasihat perubatan, disuntik vaksin Covid-19 sebanyak 217 kali.

BBC melaporkan, vaksin itu dibeli sebelum disuntik kepada lelaki itu dalam tempoh 29 bulan.

Dr Kilian Schober, dari Jabatan Mikrobiologi Universiti Erlangen-Nuremberg berkata, lelaki itu tidak mengalami kesan buruk selepas menerima ratusan suntikan itu.

"Kami mengetahui kesnya melalui artikel akhbar.

"Kami kemudian menghubunginya dan menjemputnya menjalani pelbagai ujian di Erlangen dan dia sangat berminat," katanya.

Kes pelik itu direkodkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases.

Schober berkata, mereka mengambil sampel darah segar dan air liur lelaki itu untuk membuat uji kaji makmal.

"Penyelidik juga menguji beberapa sampel darah beku miliknya yang disimpan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Kami dapat mengambil sampel darah sendiri apabila lelaki itu menerima vaksin lanjut semasa kajian atas desakan beliau sendiri.

"Kami menggunakan sampel ini untuk menentukan dengan tepat bagaimana sistem imun bertindak balas terhadap vaksinasi," katanya.

Bukti untuk 130 suntikan itu dikumpulkan pendakwa raya bandar Magdeburg, yang membuka kertas siasatan dengan dakwaan penipuan, namun tiada pertuduhan jenayah.

Vaksin Covid-19 tidak boleh menyebabkan jangkitan tetapi boleh 'mengajar' badan bagaimana untuk melawan penyakit.

Vaksin menggunakan teknologi messenger RNA (mRNA). Sistem imun kemudiannya harus mengenali dan mengetahui cara melawan Covid-19, sekiranya mereka menghadapinya secara nyata.

Dr Schober bimbang sistem imun yang rangsangan hiper kerana dos berulang itu mungkin menyebabkan 'keletihan' pada sel tertentu, namun penyelidik tidak menemukan bukti keadaan ini pada lelaki berkenaan.

Malah, tiada tanda dia pernah dijangkiti Covid-19.

Justeru, keputusan ujian mereka ke atas lelaki itu tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan yang meluas, apatah lagi cadangan untuk orang awam.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mengatakan, vaksin Covid-19 biasanya diberikan secara bermusim.

Namun, ia berkata, sesetengah orang yang mempunyai sistem imun sangat lemah mungkin memerlukan perlindungan tambahan pada tempoh masa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 12:39 PM