FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Beijing: China melancarkan vaksin Covid-19 dos tunggal, Ad5-Ncov dan merancang untuk menghasilkan 500 juta dos setahun.

Ad5-Ncov sebelum ini mencipta sejarah sebagai calon vaksin pertama seumpamanya di dunia yang memasuki fasa kajian klinikal peringkat pertama dimulakan pada 16 Mac 2020.

Ia adalah vaksin vektor adenovirus dibangunkan secara kerjasama antara syarikat bioteknologi China, CanSino Biologics dan sekumpulan penyelidik diketuai pakar penyakit berjangkit Institut Perubatan Ketenteraan, Akademi Sains Perubatan Tentera, Chen Wei.

Berdasarkan laporan portal Global Times, Ad5-Ncov adalah satu-satunya vaksin Covid-19 dos tunggal yang diberikan kelulusan bersyarat untuk dilancarkan di China.

Menerusi vaksin itu, individu yang divaksinasi akan mendapat kesan perlindungan selepas 14 hari menjalani inokulasi dan ia boleh bertahan sekurang-kurangnya enam bulan selepas diberikan dos tunggal.

Selain itu, Ad5-Ncov boleh meningkatkan imuniti badan sebanyak 10 hingga 20 kali sekiranya dos kedua disuntik dalam tempoh setengah tahun selepas dos pertama, kata Chen dalam temubual eksklusif bersama CCTV.

"Kami juga membangunkan vaksin yang kesannya lebih kuat dan mampu bertahan walaupun selepas divaksinasi lebih daripada enam bulan," katanya.

Menurut data yang dikeluarkan, Chen dan penyelidik lain meramalkan kesan vaksin itu boleh melindungi tubuh selama dua tahun selepas menerima dua suntikan.

Katanya, antara ciri penting vaksin Ad5-Ncov ialah proses pengeluarannya boleh dibuat lebih pantas dan dalam skala besar.

Malah, katanya, dalam analisis interim yang dilaksanakan, kadar keberkesanan vaksin itu mencecah sehingga 90.98 peratus bagi mencegah pelbagai penyakit berbahaya.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) turut meluluskan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson bagi penggunaan kecemasan yang turut memerlukan satu dos.

Vaksin sekali suntikan itu sangat berkesan untuk mencegah Covid-19 yang teruk, termasuk terhadap varian yang lebih baru, kata Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) sebelum memberikan kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:00 AM