KIM Jong Un (kiri) berjabat tangan dengan Alexander Kozlov. FOTO KCNA/ KNS / AFP
KIM Jong Un (kiri) berjabat tangan dengan Alexander Kozlov. FOTO KCNA/ KNS / AFP
AFP

Moscow: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un meninggalkan Rusia pada Ahad, sekali gus menamatkan lawatan yang mengesahkan hubungan rapat dengan Vladimir Putin.

Ia mencetuskan kebimbangan Barat bahawa Pyongyang mungkin memberikan Moscow senjata untuk serangannya ke atas Ukraine.

Lawatan susulan Kim di wilayah timur jauh Rusia, yang bermula Selasa, memberi tumpuan secara meluas kepada hal ketenteraan, dengan rombongannya sendiri didominasi oleh pegawai, pertukaran simbolik raifal dengan Putin dan kunjungan ke kilang jet pejuang di Komsomolsk-on-Amur.

Sebelum berlepas, agensi berita Tass berkata, Kim diberikan lima dron bahan letupan, dron peninjau dan jaket kalis peluru sebagai hadiah daripada gabenor wilayah.

Agensi Rusia berkata, pemimpin Korea Utara menerima "lima dron kamikaze dan dron peninjau 'Geran-25' yang boleh dilancarkan secara menegak".

Tass melaporkan, gabenor wilayah Primorye, yang bersempadan dengan China dan Korea Utara, juga menawarkan Kim Jong Un satu set perlindungan kalis peluru dan pakaian khas yang tidak dapat dikesan oleh kamera termal.

Pada Ahad, agensi Ria Novosti menerbitkan video pemergian Kim, dan berkata 'upacara berlepas' diadakan di stesen Artyom-Primorsky-1.

Rakaman menunjukkan Kim melambai selamat tinggal, dari kereta apinya, kepada delegasi Rusia yang diketuai oleh Menteri Sumber Asli Alexander Kozlov.

Tass memaklumkan, kereta api Kim menuju kira-kira 250 kilometer ke arah sempadan.

Rusia dan Korea Utara adalah sekutu lama dan kedua-duanya dikenakan sekatan global - Moscow untuk serangan Ukraine, Pyongyang untuk ujian nuklearnya.

Lawatan rasmi pertama ke luar negara untuk pemimpin Korea Utara itu sejak pandemik Covid-19 menimbulkan kebimbangan Barat bahawa Moscow dan Pyongyang akan menentang sekatan serta mencapai perjanjian senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 10:36 AM