Imej satelit Maxar menunjukkan kebakaran dan kerosakan bangunan di Mariupol, pada semalam. Foto AFP
Imej satelit Maxar menunjukkan kebakaran dan kerosakan bangunan di Mariupol, pada semalam. Foto AFP
AFP

Kyiv: Ketika tentera Ukraine bertempur dengan Rusia di seluruh negara, pasukan penyelamatnya bertungkus-lumus menyelamatkan ratusan orang awam yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang dibom.

Presiden Volodymyr Zelensky berkata, seramai 130 orang dibawa keluar selepas dua hari serangan Rusia ke atas bangunan di bandar Mariupol, namun ratusan lagi masih terperangkap dalam runtuhan.

Di Kyiv, pihak berkuasa berkata, seorang terbunuh apabila roket Rusia menghentam blok menara kediaman di pinggir barat laut.

Mereka berkata, sebuah sekolah dan taman permainan turut diserang.

Satu mayat terbaring di bawah kain, berhampiran kawah besar, selepas letupan itu meletupkan setiap tingkap sekolah.

Anna-Maria Romanchuk,14, menggeletar ketakutan selepas peluru berpandu itu meletup di luar sekolahnya.

"Takut. Saya cuma berharap semuanya baik-baik saja," katanya kepada AFP dalam keadaan mukanya yang pucat.

Terletak 70 kilometer dari sempadan, Lviv sehingga kini menyaksikan sebahagian besar penduduknya melarikan diri daripada serangan tentera Rusia dan ia menjadi pangkalan belakang bagi diplomat asing yang melarikan diri dari Kyiv.

Valentin Vovchenko, 82, memberitahu AFP di Lviv, mereka melarikan diri dari Kyiv dan tidak menyangka kini tentera menyerang kawasan itu pula.

Sementara itu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perhimpunan besar kemenangan mereka di stadium bola sepak Moscow yang menampilkan lautan bendera Rusia, bintang pop pro-Kremlin dengan laungan 'Rusia! Rusia! Rusia!'

Menandakan lapan tahun sejak pengambilalihan Crimea dari Ukraine, puluhan ribu orang mengambil bahagian, ramai yang memakai reben dengan huruf Z dengan memaparkan kereta kebal Rusia yang menyerang Ukraine.

Putin berkata, tentera Rusia berada di Ukraine untuk membebaskan orang-orang itu daripada penderitaan dan pembunuhan beramai-ramai mereka.

Pemimpin Rusia itu menuduh Kyiv melakukan jenayah perang dalam satu panggilan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron dan berkata Moscow melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan kematian orang awam walaupun Rusia meneruskan pengeboman dahsyatnya terhadap Mariupol dan bandar lain.

Untuk rekod, lebih 3.25 juta orang melarikan diri dari Ukraine, sejak pencerobohan Rusia bermula tiga minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 11:16 AM