PUTIN (kanan) bersalam dengan Bashar ketika pertemuan di Kremlin, Moscow kelmarin.
PUTIN (kanan) bersalam dengan Bashar ketika pertemuan di Kremlin, Moscow kelmarin.

Moscow: Presiden Syria, Bashar al-Assad membuat lawatan mengejut ke Moscow kelmarin, lawatan pertamanya keluar negara sejak konflik tercetus di Syria pada 2011.

Dalam lawatan berkenaan, Bashar mengadakan rundingan penting dengan Presiden Russia, Vladimir Putin mengenai konflik di Syria.

Bashar yang kali terakhir melawat Russia pada 2008 turut mengucapkan terima kasih kepada Putin kerana melancarkan serangan udara terhadap kumpulan penentang di Syria sejak bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin berkenaan bersetuju operasi ketenteraan berkenaan mesti diikuti dengan langkah politik.

Berita mengenai lawatan Bashar itu diumumkan Kremlin selepas pemimpin berkenaan kembali ke Syria.

Kremlin dalam satu kenyataan semalam memberitahu, Putin berjanji untuk terus menyokong tentera Syria dan pada masa yang sama menggesa satu penyelesaian politik membabitkan semua kumpulan bertelagah bagi menamatkan peperangan.

Lawatan itu diadakan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu, berpuluh-puluh ribu penduduk melarikan diri dari serangan terbaru rejim Syria berhampiran bandar Aleppo.

Bashar memberitahu Putin, serangan udara Russia yang bermula pada 30 September lalu membantu menghentikan peluasan aktiviti pengganas di Syria.

Menurut sebuah kumpulan pemantau, serangan udara itu sehingga kini menyebabkan 370 orang terbunuh termasuk 120 orang awam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 6:56 AM