Coklat yang diberikan Ratu Victoria kepada anggota tentera ketika Perang Boer di Afrika Selatan. FOTO Agensi
Coklat yang diberikan Ratu Victoria kepada anggota tentera ketika Perang Boer di Afrika Selatan. FOTO Agensi
Agensi

London: Coklat yang dihadiahkan Ratu Victoria kepada tenteranya ketika berperang pada 1899 dilelong pada harga lebih 500 pound sterling (kira-kira RM2,400), baru-baru ini.

Harga itu mungkin terlalu mahal untuk sebungkus coklat namun nilai estetika pada makanan itu membuatkan ia dibida pada harga tinggi.

Produk Rowntree yang mengandungi beberapa bar coklat itu ditemui dalam kotak sampah di sebuah rumah di Immingham, United Kingdom.

Ia dipercayai milik datuk pemilik rumah berkenaan yang terbabit dalam peperangan dan menerima hadiah itu namun tidak pernah menjamah coklat itu.

Menyedari nilai sejarah pada coklat itu menyebabkan individu yang menemuinya cuba melelong.

Pembida coklat itu bukan sekadar pengumpul barangan antik malah berminat untuk mendapat artifak yang berusia ratusan tahun.

Jurulelong dari syarikat Eddisons, Paul Cooper berkata, pakar memaklumkan coklat tidak menjadi berbahaya apabila ia semakin berusia kerana hanya kehilangan rasa, tekstur dan rasa.

Ketika Perang Boer, Ratu Victoria menghantar kotak coklat kepada tentera British di Afrika Selatan.

Bagaimanapun, syarikat pembuat coklat itu menentang peperangan dan tidak mahu dilihat menyokong pertempuran yang berlaku.

Jadi, syarikat itu membuat keputusan untuk membekalkan coklat secara percuma dalam tin yang tidak berjenama.

Bagaimanapun, Ratu Victoria mahu tentera melihat coklat itu berkualiti tinggi maka coklat itu ditanda dengan nama Rowntree.

Tin itu dihiasi dengan gambar Ratu Victoria, lambangnya dan perkataan 'Afrika Selatan 1900'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:00 PM