AKSI seorang lelaki membakar dirinya menjadi perdebatan ramai. FOTO Agensi
AKSI seorang lelaki membakar dirinya menjadi perdebatan ramai. FOTO Agensi
Agensi

Istanbul: Aksi seorang lelaki berkostum Grim Reaper membakar dirinya di tempat tarikan bersejarah di Turki disangkakan cuma gimik pertunjukan hingga ramai pelancong berswafoto dengannya.

Namun, siapa sangka rupanya lelaki itu sengaja membakar dirinya tanpa diketahui motifnya.

Dalam satu video yang tular di media sosial, pada mulanya lelaki itu menuang petrol ke badannya sebelum menyalakan api.

Dia kemudian berjalan terhuyung-hayang dan berguling bergelut kesakitan sebelum pemilik kedai berhampiran membawa alat pemadam api untuk membantu memadamkan api yang menjilat hampir keseluruhan badannya.

Lelaki itu terselamat dan masih boleh bercakap dengan pihak berkuasa yang memberikannya bantuan pertolongan cemas.

Kejadian yang berlaku berhampiran Menara Galata itu mencetuskan perdebatan ramai hingga ada mempertikaikan mengapa kanak-kanak dibiarkan menonton aksi berkenaan.

Netizen membuat spekulasi orang ramai di lokasi kejadian menganggap lelaki itu membuat aksi pertunjukan kerana ia hanyalah aksi jalanan menarik perhatian dan biasa dilakukan.

Namun segelintirnya, menganggap lelaki itu mempunyai masalah peribadi yang menganggu fikirannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 11:16 AM