TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan sangkar keluli itu terbakar.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan sangkar keluli itu terbakar.
Agensi

Beijing: Pertunjukan 'motosikal berapi' di China, baru-baru ini, menyebabkan salah seorang penunggang lagak ngeri, cedera.

The Straits Times melaporkan, dua penunggang lagak ngeri melakukan aksi Globe of Death di taman tema Happy Valley di Taman Hutan Wujinshan di Shanxi, utara negara itu, Selasa lalu.

Globe of Death adalah persembahan membabitkan individu menunggang motosikal secara mendatar atau menegak di dalam sangkar sfera keluli, secara pantas.

Dalam video yang tular itu, kedua-dua individu dilihat menunggang motosikal di dalam sfera itu, sambil motosikal terbabit mengeluarkan percikan api.

Selepas menyelesaikan beberapa pusingan, satu daripada motosikal itu kehilangan 'cengkaman' pada dinding sangkar itu dan jatuh.

Motosikal lelaki pertama itu kemudian terbakar, manakala individu kedua terus menunggang motosikalnya bagi mengelakkan api.

Menurut media tempatan Sohu News, penonton yang terkejut dengan kejadian.

Beberapa kakitangan cuba memadamkan api dengan alat pemadam api, manakala yang lain cuba membuka pintu pagar sangkar keluli itu.

Pada Rabu, biro kebudayaan dan pelancongan bandar Jinzhong berkata, seorang penghibur di taman tema itu mengalami kecederaan di kaki dan lengannya akibat kejadian berkenaan.

Ia menyatakan lelaki itu lelaki itu dibawa ke hospital namun tidak menjelaskan tahap kecederaannya.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kemalangan.

Seorang pengunjung taman tema yang berada di Happy Valley pada Selasa berkata, pertunjukan lagak ngeri itu bermula kira-kira 4 petang.

Katanya, ramai yang menerima tiket masuk percuma daripada taman itu sebagai sebahagian daripada kempen promosi.

"Pada mulanya, saya menyangka (kebakaran) adalah kesan khas, rupa-rupanya ia insiden sebenar apabila tempat itu dipenuhi dengan bau asap," kata pengunjung yang tidak dinamakan itu kepada Jimu News, sambil menambah bahawa kemalangan itu berlaku kira-kira dua minit selepas persembahan itu bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 11:18 AM