The Hague: Polis semalam terpaksa mengosongkan sebuah kereta api dan sebahagian stesen di Rotterdam selepas seorang lelaki mengurung dirinya dalam tandas kereta api berkenaan.

Lelaki itu yang tidak mahu keluar walaupun didesak ditangkap selepas dua jam apabila pasukan khas polis dengan anjing tiba di stesen berkenaan.

Sebahagian platform perjalanan antarabangsa dan sebahagian stesen kereta api itu juga dikosongkan ketika operasi menangkap lelaki berkenaan dilakukan.

Polis masih belum dapat memastikan motifnya.

Skuad pemusnah bom polis kemudian tiba untuk memeriksa kereta api itu bagi mengesan kemungkinan terdapat bahan letupan.

Kejadian berlaku kurang sebulan selepas seorang suspek militan menembak kereta api dari Amsterdam ke Paris, menyebabkan dua orang cedera.

Lelaki bersenjatakan raifal Kalashnikov itu melepaskan tembakan pada kereta api laju yang membawa lebih 550 penumpang itu pada 21 Ogos.

Dia bagaimanapun berjaya ditangkap oleh beberapa penumpang, termasuk anggota tentera Amerika Syarikat yang bercuti. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:09 AM