SUASANA lengang di pusat bandar Vienna selepas pihak berkuasa menguatkuasakan sekatan pergerakan bagi mengekang jangkitan Covid-19. FOTO AFP
SUASANA lengang di pusat bandar Vienna selepas pihak berkuasa menguatkuasakan sekatan pergerakan bagi mengekang jangkitan Covid-19. FOTO AFP
AFP

Geneva: Vaksin Covid-19 hanya mampu mengurangkan penularan jangkitan varian Delta sebanyak 40 peratus sahaja.

Penemuan terbaharu itu didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam yang bimbang orang ramai selesa dengan perasaan selamat yang salah.

Susulan itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa mereka yang lengkap vaksin meneruskan mengamalkan langkah sewajarnya untuk mengelak dijangkiti Covid-19 dan menyebarkan virus itu.

Beliau pada minggu lalu berkata, lebih 60 peratus daripada semua kes dan kematian akibat Covid-19 sekali lagi dilaporkan di Eropah.

Katanya, jumlah kes yang banyak itu diterjemahkan kepada tekanan yang tidak mampan terhadap sistem kesihatan dan pekerja kesihatan yang keletihan.

"Kami bimbang tentang rasa selamat yang salah bahawa vaksin menamatkan wabak dan orang yang diberi vaksin tidak perlu mengambil sebarang langkah berjaga-jaga lain.

"Vaksin menyelamatkan nyawa tetapi ia tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

"Data menunjukkan sebelum munculnya varian Delta, vaksin (mampu) mengurangkan penularan sebanyak kira-kira 60 peratus. (Namun) dengan Delta, ia semakin menurun kepada kira-kira 40 peratus," katanya.

Varian Delta yang lebih mudah ditularkan kini sangat dominan di seluruh dunia, berbanding varian lain dan strain asal.

Menurut laporan epidemiologi mingguan WHO, daripada 845,000 jujukan yang dimuat naik ke Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) dengan spesimen yang dikumpul dalam 60 hari lalu, 99.8 peratus adalah Delta.

"Sekiranya anda diberi vaksin, anda kurang dapat risiko penyakit yang teruk dan kematian yang jauh lebih rendah tetapi anda masih berisiko untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 9:33 AM