GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mengeluarkan amaran, varian Delta yang disifatkan lebih ekstrem akan sentiasa bermutasi yang menyebabkan dunia kini dalam tempoh bahaya.

Varian Delta yang dikesan pada akhir 2020 di India, kini menghantui dunia apabila varian itu mengganas dengan kadar penularan yang pantas sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di banyak negara antaranya United Kingdom (UK) dengan jangkitan varian Delta melebihi 82,000 kes diikuti India, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Portugal dan Sepanyol.

Varian Delta ini juga dipercayai menjadi punca lonjakan kes Covid-19 di Indonesia dengan kes jangkitan yang direkodkan pada 8 Julai sebanyak 38,391 kes dan jumlah kematian melebihi 1,000 orang sehingga menyebabkan hospital di kepulauan Jawa berada pada tahap maksimum dengan bekalan oksigen yang rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi program The Nation bertajuk 'Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita' di Bernama TV pada Sabtu lepas berkata, lonjakan kes Covid-19 di Malaysia turut dibimbangi berpunca daripada penularan jangkitan varian Delta.

Berikutan perkembangan itu, usaha memperkukuh dan meningkatkan tindakan kesihatan awam sedang dilakukan bagi membendung penularan jangkitan daripada varian ganas ini.

Sehingga 30 Jun, hasil penjujukan genom, sebanyak 40 kes jangkitan Covid-19 varian Delta dikesan di negara ini.

Melihat kepada situasi itu, apakah Malaysia mampu menangani penularan varian terbabit dalam tempoh sekurang-kurangnya menjelang akhir tahun ini, setelah negara mencatatkan kes harian positif Covid-19 melepasi angka 9,000 tiga hari berturut-turut iaitu pada 9 Julai sebanyak 9,180 kes, 10 Julai dengan 9,353 kes dan 9,105 kes direkodkan pada 11 Julai.

Menurut Ketua Unit Penyakit Berjangkit Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Rosnida Mohd Noh, penularan wabak Covid-19 daripada varian Delta boleh dikawal sekiranya dua dos vaksin Covid-19 ke atas penerima dapat dilengkapkan segera.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menggandakan usaha meningkatkan kapasiti suntikan dua dos vaksin kerana cara itu dilihat sebagai langkah terbaik bagi meningkatkan imuniti penerima vaksin sekali gus sebagai benteng pertahanan badan untuk melawan wabak berkenaan.

"Untuk melandaikan penularan sekarang, 'ubat' yang paling berkesan adalah vaksin. Tetapi untuk selamat, sebenarnya tidak cukup satu dos, kita perlu dua (dos) vaksin.

"Bagaimanapun, kita juga tidak boleh mengatakan individu lengkap dua dos tidak akan dijangkiti langsung. Mereka ini masih boleh dijangkiti, cuma 88 peratus tidak bersimptom dan 96 peratus tidak perlu masuk ke hospital,'' katanya kepada Bernama.

Langkah ini sekali gus akan dapat mengurangkan kapasiti hospital yang kini berada dalam keadaan genting berikutan jumlah kes yang tinggi terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Jelas beliau, pemberian dua dos vaksin ini perlu disegerakan khususnya di kawasan yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi bagi membendung penularan virus selain dapat mengelak pembentukan varian baharu.

Setakat Jumaat (9 Julai) lepas, sebanyak 3,190,789 orang atau 10 peratus penduduk di negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan bermula Februari lepas.

Menteri Penyelaras program itu, Khairy Jamaluddin dipetik berkata, bagi penduduk dewasa, 30 peratus menerima dos pertama manakala 13.6 peratus melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Hasil kajian Public Health England pada April dan Mei, menunjukkan kadar keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap varian Delta adalah 88 peratus, iaitu dua minggu selepas dos kedua diberi.

Sementara itu, dua dos vaksin AstraZeneca mempunyai kadar keberkesanan 60 peratus terhadap simptomatik penyakit daripada varian Delta.

Dr Rosnida berkata, varian Delta ini dilaporkan 60 peratus lebih mudah berjangkit berbanding virus asal Covid-19 dan keadaan itu amat membahayakan kerana ia boleh menyebabkan sistem kesihatan awam negara lumpuh sekiranya tiada langkah komprehensif diambil.

''Varian Delta terlalu cepat merebak, sistem kesihatan pun ketika ini dalam keadaan darurat. Selain vaksin, usaha lain yang perlu digandakan ialah membuat 'test and trace' sebagai langkah awal membendung jangkitan wabak ini.

''Rakyat juga perlu memainkan peranan, kerana sifatnya yang cepat merebak itu janganlah kita berkumpul dan untuk situasi ini juga, ziarah Aidiladha perlu 'dikorbankan', demi keselamatan semua,'' katanya.

Selain varian Delta, dunia kini turut diancam kebimbangan dengan penemuan varian baharu, Lambda yang dikatakan lebih berbahaya dan mungkin kebal terhadap vaksin.

Varian Lambda yang dikenali sebagai C.37, pertama kali dikesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 8:07 AM