GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan 700,000 individu meninggal dunia dalam beberapa bulan akan datang kesan penularan Covid-19 di seluruh Eropah.

Justeru, WHO mengesyorkan beberapa negara di Eropah mengenakan semula sekatan pergerakan yang ketat.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, WHO turut memaklumkan angka kematian di benua itu boleh mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini, jika trend semasa berterusan.

WHO menjangkakan tekanan tinggi atau melampau di unit rawatan rapi (ICU) di 49 daripada 53 negara antara tempoh 1 Mac tahun depan.

"Kematian terkumpul yang dilaporkan diunjurkan mencecah lebih 2.2 juta menjelang musim bunga tahun depan," kata WHO dalam kenyataan yang memaklumkan jumlah itu meningkat daripada 1.5 juta ketika ini.

Peningkatan angka itu di Eropah dipacu oleh penularan varian Delta, perlindungan vaksin yang tidak mencukupi dan pelonggaran langkah seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Berdasarkan data WHO, kematian berkaitan Covid-19 meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, dua kali ganda daripada 2,100 kematian sehari pada akhir September.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 9:41 AM