HLUSKOVA dijatuhi hukuman penjara lapan tahun. FOTO AGENSI
HLUSKOVA dijatuhi hukuman penjara lapan tahun. FOTO AGENSI
Agensi

Prague: Seorang model Republik Czech yang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun di Pakistan, dibebaskan enam tahun lebih awal.

Menteri Luar, Jakub Kulhanek berkata, model berkenaan yang dibebaskan pada Sabtu lalu, sebelum ini dipenjara pada 2019 kerana mengedar dadah di Pakistan.

"Warganegara Czech itu dibebaskan dari penjara di Pakistan.

"Kedutaan kami kini akan membantunya mengatur perjalanan pulang ke Republik Czech," katanya menerusi Twitter.

Peguam model itu, Saif ul Malook berkata, mahkamah rayuan membebaskannya pada 1 November lalu kerana mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tereza Hluskova, 25, ditahan di lapangan terbang di bandar timur negara itu, Lahore kerana mengedar sembilan kilogram (kg) dadah jenis heroin pada Januari 2018.

Rakaman dikeluarkan pegawai kastam Pakistan menunjukkan pihak berkuasa mendedahkan dadah yang disembunyikan dalam bagasi wanita itu.

Ketika itu, Hluskova cuba menaiki penerbangan menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Hluskova yang menegaskan seseorang meletakkan dadah berkenaan dalam beg pakaiannya itu dijatuhi penjara lapan tahun dan lapan bulan serta turut didenda pada Mac 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:15 AM