Suspek ditahan selepas cuba menyeludup senjata api.
Suspek ditahan selepas cuba menyeludup senjata api.
Mohd Hasbi Sidek


SEORANG rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan, Jumaat lalu, kerana disyaki menyeludup senjata.

Portal berita The Express Tribune melaporkan, suspek menggunakan pesawat Thai Airways TG 342 penerbangan ke Bangkok, Thailand, sebelum ditahan di lapangan terbang berkenaan.

Suspek yang berusia 20 tahun berasal dari Sarawak cuba menyeludup keluar empat pistol, lapan kelopak peluru dan 70 peluru yang disembunyikan di dalam bagasi dan tapak kasutnya.

Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke balai polis lapangan terbang untuk disiasat oleh pasukan perisik negara itu.

Laporan itu berkata, pihak berkuasa memaklumkan kes itu masih dalam siasatan termasuk motif sebenar senjata berkenaan cuba diseludup keluar dari Pakistan.

Dia juga disoal siasat sama ada terbabit dengan rangkaian kumpulan Daish.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan lelaki itu semalam selepas dimaklumkan pihak berkuasa Pakistan.

"Berdasarkan maklumat awal, kami sahkan yang lelaki warga Malaysia ditahan di Pakistan.

"Pihak polis akan berhubung dengan pihak berkuasa di Pakistan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2017 @ 9:48 PM