POLIS menahan penunjuk perasaan yang berkumpul memperingati kematian seorang wanita menjadi mangsa bunuh. FOTO AFP
POLIS menahan penunjuk perasaan yang berkumpul memperingati kematian seorang wanita menjadi mangsa bunuh. FOTO AFP
AFP

London: Polis menerima kritikan selepas menggari penunjuk perasaan yang berkumpul memperingati kematian seorang wanita menjadi mangsa bunuh ketika pulang ke rumahnya, 3 Mac lalu, yang mencetuskan perdebatan nasional mengenai keganasan terhadap wanita.

Dalam insiden itu, pegawai polis dilihat bertengkar dengan beberapa penunjuk perasaan yang berkumpul di Clapham Common, sambil menyalakan lilin memperingati kematian Sarah Everard, 33, ketika sekatan Covid-19 sedang dilaksanakan.

Rakaman di media sosial menunjukkan polis menahan dan menggari mereka yang sedang berkabung, menyebabkan pelbagai parti dan pemimpin politik mengecam tindakan itu.

Kematian eksekutif pemasaran Everard yang dilaporkan hilang pada 3 Mac lalu selepas pulang daripada rumah rakannya di Clapham mengejutkan negara itu sehingga mencetuskan isu keselamatan wanita.

Seorang lelaki, Wayne Couzens, 48, dihadapkan di mahkamah pada Sabtu lalu selepas dituduh melakukan penculikan dan menyebabkan kematian Everard. Mayat mangsa ditemui di kawasan hutan berhampiran.

Sementara itu, pemimpin pembangkang yang juga dari Parti Buruh, Keir Starmer menyifatkan insiden itu sebagai mengganggu upacara berkenaan.

"Saya berkongsi kemarahan dan kecewa terhadap bagaimana perhimpunan itu dikawal. Ini bukan caranya," katanya melalui ciapan Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Konservatif, Steve Baker menyifatkan insiden itu sebagai memalukan dan mendesak Perdana Menteri, Boris Johnson menilai semula undang-undang perintah sekatan.

Isteri Putera William, Kate Middleton, terdahulu turut melawat Clapham Common yang dijadikan tempat bersemadi mangsa.

Pihak penganjur dilaporkan membatalkan upacara peringatan itu selepas polis melarangnya berikutan perintah sekatan terhadap Covid-19 namun ramai tetap hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 10:15 AM