KUMPULAN penunjuk perasaan berhimpun di Market Street di San Francisco, California kelmarin bagi membantah kekejaman polis.
KUMPULAN penunjuk perasaan berhimpun di Market Street di San Francisco, California kelmarin bagi membantah kekejaman polis.
AFP

Dallas: Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) lewat kelmarin, sehari selepas seorang pelampau kulit hitam menembak mati lima anggota polis yang mengawal bantahan kekejaman polis di Texas.

Ketika ramai memperingati lima anggota polis yang terkorban itu, tunjuk perasaan tetap diteruskan bagi membantah kematian dua lelaki kulit hitam, Alton Sterling dan Philando Castile yang dibunuh polis.

Castile, 32, ditembak mati polis ketika ditahan akibat kesalahan lalu lintas dengan kejadian dirakam teman wanitanya dan disebar di Internet.

Beribu-ribu penunjuk perasaan yang berang berarak di beberapa bandar termasuk Houston, New Orleans, Detroit, Baltimore, Philadelphia dan San Francisco.

Bantahan terbesar dilaporkan di Atlanta, apabila ribuan penunjuk perasaan menghalang lebuh raya utama.

Di Phoenix, polis antirusuhan menggunakan semburan lada untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang membaling batu dan mahu menghalang lebuh raya.

Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan ditahan.

Di Rochester, New York, Ketua Polis, Michael Ciminelli berkata, seramai 74 penunjuk perasaan ditangkap kerana cuba menghalang laluan di jalan raya.

Keadaan yang semakin tegang menyebabkan Presiden AS, Barack Obama terpaksa memendekkan lawatan ke luar negara dan dijadual melawat Dallas pada minggu depan.

Naib Presiden AS, Joe Biden semalam, memuji anggota polis yang terbunuh itu dan menyatakan mereka semua mahu membantu orang ramai.

“Sebagai rakyat AS, kita semua terluka dengan kematian ini.

“Apabila peluru pembunuh disasarkan kepada anggota polis di Dallas, ia turut menyentuh jiwa negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:08 AM