LI mendakwa dipukul bekas teman lelaki selepas menuntutnya memulangkan pemberian bernilai empat juta Yuan. FOTO Weibo.
LI mendakwa dipukul bekas teman lelaki selepas menuntutnya memulangkan pemberian bernilai empat juta Yuan. FOTO Weibo.
Agensi

Beijing: Seorang wanita di China mengheret bekas teman lelakinya ke mahkamah kerana mendakwa lelaki itu memukulnya dengan kejam selepas didesak memulangkan wang dan barangan mewah yang diberikan ketika mereka bercinta.

Wanita dikenali Li menuntut lelaki terbabit untuk memulangkan kembali pemberiannya yang berjumlah empat juta yuan (RM2.65 juta) sebaik hubungan mereka berakhir.

Li yang berasal dari Beijing jatuh cinta dengan lelaki dikenali Deng selepas menjadi penumpang kenderaan e-hailing yang dipandu lelaki terbabit pada 2019, lapor Star News yang dipetik SCMP.

Mereka kemudiannya memutuskan menjadi pasangan kekasih, namun berpisah pada 2021 selepas Li mendapati Deng curang dan diketahui tinggal bersama wanita lain.

Sepanjang dua tahun berkasih, Li berkata, dia membelikan barangan mewah seperti alatan kecergasan dan beg buat Deng, selain memindahkan kira-kira dua juta yuan (RM1.32 juta) ke akaun banknya.

"Dia beritahu jika saya mahu hubungan kami berterusan, saya perlu terus memberinya wang dan membelikan barangan mewah.

"Dia tidak ikhlas bercinta dengan saya, tetapi hanya mahukan wang," katanya.

Li berkata, Deng menyerangnya di rumah selepas mengetahui tuntutan saman yang dikemukakan.

"Dia pukul dengan terus hingga saya fikir dia berniat membunuh saya," katanya.

Dalam pada itu, Deng mendakwa, mereka mempunyai akaun bank bersama dan wang di dalamnya untuk dibelanjakan bersama.

Katanya, beberapa barang yang diberi pula hanya digunakan ketika mereka bersama dan ia disimpan Li selepas mereka berpisah.

Lelaki itu bagaimanapun tidak mengulas mengenai dakwaan keganasan rumah tangga.

"Saya mahu dia pergi dari hidup saya selamanya. Dia sudah cukup lama mengganggu saya," katanya kepada media.

Kes pasangan itu trending di media sosial China dan ditonton 53 juta kali di Weibo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 1:18 PM