Dua tertuduh  mengaku tidak bersalah di  Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Dua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Shah Alam: Dua lelaki yang juga pengarah di sebuah syarikat dan sepupunya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap pertuduhan menipu dan mengubah wang haram membabitkan penjualan kereta mewah pada 2012.

Chin Jack Deng, 33, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas memperdaya jurujual Choo Kind Change, 32, untuk membeli kenderaan jenis Porsche Cayenne E2 Diesel pada harga termasuk cukai RM520,000 yang mana mangsa tidak bersetuju membeli kenderaan berkenaan jika mengetahui kenderaan itu tidak dibayar cukai.

Jack Deng didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Sime Darby Auto Performance Sdn Bhd, 26 & 28, Jalan Juruhebah U1/50, Temasya Industrial Park, Glenmarie, dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebat serta denda.

Jack Deng juga didakwa bersubahat dengan sepupunya Tan Hai Chuen, 36, terbabit dengan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM214,080 melalui akaun CIMB Bank milik tertuduh kedua (Hai Chuen) daripada akaun Hong Leong Bank milik Poh Chun Ting, 32, iaitu hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 25 dan 26 Julai 2012 di CIMB Bank Berhad Wisma BU B, No 11Lebuh Bandar Utama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau atau kedua-duanya.

Sementara itu, Hai Chuen turut didakwa bersubahat dengan Jack Deng untuk memperdayakan Kind Change serta mengubah wang haram RM214,080 dan didakwa mengikut seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Asnawi Abu Hanipah menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang bagi kedua-dua kesalahan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua tertuduh Mohd Baharuddin Ahmad Kassim tidak membuat bantahan.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Harian Metro pada Mei lalu mendedahkan, kerajaan kerugian RM8.39 juta dalam bentuk cukai berikutan taktik digunakan sindiket kereta mewah mendaftarkan kereta berkenaan di Pulau Bebas Cukai Langkawi menggunakan dokumen palsu.

Namun, kegiatan sindiket itu yang aktif pada 2011 terbongkar tahun lalu apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan ada kereta mewah dan pertengahan yang didaftarkan di pulau berkenaan digunakan di Semenanjung Malaysia.

Setakat ini, cawangan Penilaian Ibu Pejabat JKDM mengesan 196 kereta import yang gagal membayar cukai.

Semua kereta itu berdaftar di Pulau Langkawi menggunakan plat Gagasan 1Malaysia (G1M).

Bagaimanapun, taktik dua lelaki yang cuba memperdaya JKDM dengan mendaftar kereta Porsche menggunakan nombor plat G1M di Langkawi sebelum menjual semula kereta itu tanpa membayar cukai gagal apabila mereka ditahan SPRM baru-baru ini.

Semalam akhbar ini turut melaporkan, kenyataan SPRM iaitu suspek yang terdiri daripada pengurus syarikat swasta dan orang awam ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pengubahan wang haram apabila mengelak daripada membayar cukai kastam hampir RM300,000.

Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Kedua-dua lelaki itu dikesan menggunakan kemudahan pinjaman daripada sebuah bank untuk membeli kereta mewah itu sebelum ia didaftarkan di Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:25 AM