GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Beijing: Seorang wanita memfailkan saman terhadap anaknya kerana menyalah gunakan wang simpanannya untuk membeli kereta baharu dan belanja kekasihnya.

Liu, 41, membesarkan anaknya Xiaowei, 19, sendirian di wilayah Sichuan selepas berpisah dengan suaminya.

Katanya, dia memasukkan semua wang simpanannya 497,542 yuan (RM324,938) atas nama anaknya ketika dia berkahwin semula dengan seorang lelaki bagi mengelak wang itu digunakan suami baharunya sekiranya mereka berpisah.

"Wang itu untuk kegunaan masa depan apabila dia belajar di luar negara nanti.

"Saya juga janji akan masukkan 500,000 yuan (RM326,543) lagi jika Xiaowei belajar bersungguh-sungguh," katanya dalam saluran media China Hongxing News.

Katanya, dia terkejut apabila Xiaowei mengeluarkan semua wang simpanan itu selepas pihak bank menghubunginya.

"Bank memberitahu saya, anak saya melaporkan kehilangan buku simpanan dan menetapkan kata laluan baharu bagi membolehkannya mengeluarkan wang itu.

"Saya akhirnya mendapat tahu, Xiaowei menggunakan wang itu untuk teman wanitanya Wu dan membelanjakan 200,000 yuan (RM130,617.20) untuk kereta baharu," katanya.

Liu berkata, dia terpaksa membawa kes itu ke mahkamah kerana Xiaowei dan teman wanitanya enggan memulangkan baki simpanan yang tinggal dalam akaun.

"Saya minta mereka pulangkan baki 300,000 yuan (RM195,925.80) tetapi mereka tidak mahu kerana anggap wang itu miliknya.

"Akhirnya, mahkamah memutuskan, Xiaowei perlu membayar baki wang simpanan itu kepada saya.

"Walaupun begitu, saya tetap membayar yuran pengajian dan perbelanjaan sara hidup Xiaowei setiap bulan," katanya.

Kisah dua beranak ini tular di media sosial hingga ramai netizen kasihan dengan Liu kerana berkorban untuk anaknya yang tidak bertimbang rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 10:48 AM