Haiyang memeluk Zhuo. FOTO agensi
Haiyang memeluk Zhuo. FOTO agensi
Agensi

Beijing: Selepas 14 tahun berpisah dengan anaknya, lelaki yang mengilhamkan filem anti pemerdagangan manusia dibintangi bintang popular, Zhao Wei akhirnya bertemu anaknya itu.

Sun Haiyang yang kisah hidupnya diinspirasikan dalam filem arahan Pengarah Hong Kong, Peter Chan berjudul Dearest pada 2014 akhirnya bertemu anak lelakinya, Sun Zhuo yang kini berusia 18 tahun.

Polis berkata, remaja itu diculik seorang lelaki bernama Wu pada 2007 ketika bermain di hadapan rumah mereka di Shenzhen.

Kanak-kanak itu dijual kepada pasangan di Shandong, timur China.

Pasangan di Shandong itu turut memiliki dua anak perempuan.

Pertemuan menyentuh hati antara Haiyang dan Zhuo berlangsung di Shenzhen, selatan China pada Isnin lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan identiti remaja itu.

Akaun Weibo bernama People's Daily's menyiarkan detik Haiyang dan isterinya menangis serta memeluk anak mereka itu hingga meraih 23 juta tontonan.

"Selepas 14 tahun dan 57 hari, dia lebih tinggi daripada ibunya. Dia bawakan kami makanan tempatan dari tempat dia tinggal sekarang.

"Dia adalah Sun Zhuo yang kami semua cari selama ini...," tulis Haiyang di media sosial Weibo.

Pasangan itu sebelum ini menawarkan 100,000 yuan (RM66,261.36) kepada mereka yang memberikan maklumat selepas remaja dilarikan Wu, ketika budak itu berusia empat tahun.

Mereka meningkatkan jumlah ganjaran kepada 200,000 yuan (RM132,522.73) selepas gagal menerima sebarang maklumat.

"Saya sudah habiskan semua wang saya, malah terpaksa meminjam duit," kata Haiyang kepada South China Morning Post.

Sebelum ini, Sun dan isterinya menamakan kedai roti kukus mereka di Shenzhen sebagai 'sebuah kedai untuk mencari anak lelaki saya.'

Selain itu, mereka menyiarkan gambar anak mereka dan penculik itu pada papan tanda sebagai ikhtiar mencari mereka.

Kisah itu tersebar luas selepas diilhamkan dalam filem Dearest namun tiada perkembangan baharu sehingga polis menubuhkan pasukan khas mencari remaja itu, awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:30 AM