FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Shanghai: Tular kisah seorang lelaki di China, baru-baru ini apabila meminta bekas teman wanitanya membayar semula semua wang dibelanjakan ketika bercinta selepas berpisah.

Oddity Central memetik laporan media tempatan melaporkan, lelaki tidak didedahkan namanya itu menulis semua perbelanjaan ditanggungnya semasa bercinta dengan bekas kekasihnya itu secara terperinci.

Senarai itu lengkap dengan jenis barangan dibelanjakan tarikh dan masa, serta perihal perbelanjaan.

Dia didakwa menghantar senarai itu kepada bekas teman wanitanya sebagai bukti bagi menuntut bayaran semula untuk semua wang dibelanjakan sepanjang hubungan mereka.

Senarai terperinci itu tersebar di media sosial China selama lebih seminggu hingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Kebanyakan mereka menyatakan mereka terkejut bukan saja kerana gelagat lelaki itu tetapi juga keupayaannya mengingati semua perbelanjaan ini sepanjang berbulan-bulan menjalin hubungan.

Ia seolah-olah setiap yuan yang dibelanjakan direkodkan terlebih dahulu.

Senarai berkenaan meliputi perbelanjaan remeh iaitu dua botol air hingga yang lebih besar, seperti menjaga ibu bekas teman wanitanya yang sakit.

Lelaki itu juga menyenaraikan perbelanjaan yang ditanggungnya ketika ibu bekas teman wanitanya dimasukkan ke hospital selain kos pengebumian.

Dalam senarai terperinci juga menyebut sama ada setiap perbelanjaan dikongsi atau sebaliknya.

Secara keseluruhan, lelaki itu mendakwa sudah membelanjakan lebih 72,000 yuan (kira-kira RM47,187) dan menuntut 60,147,025 yuan (kira-kira RM39.4 juta) daripada teman wanitanya.

Tidak jelas sama ada bekas teman wanita lelaki itu bersetuju mengikut permintaan dengan membayar semula.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu mendapat kecaman hebat hingga ada menggelarnya pendendam dan licik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:30 AM