Abdul Rasyid. FOTO Instagram @makassar_iinfo
Abdul Rasyid. FOTO Instagram @makassar_iinfo
Agensi

Jakarta: Kematian warga emas di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia ini dicemburui ramai apabila dia meninggal dunia ketika sedang membaca al-Quran di masjid.

Pengerusi Jawatankuasa Semarak Ramadan Masjid Nurul Ilmi,Universiti Negeri Makassar, Nawadir Rahmat Sande berkata, jemaah itu ialah pentadbir masjid mereka, Abdul Rasyid berusia 72 tahun.

Katanya, Abdul Rasyid meninggal dunia ketika sedang membaca al-Quran selepas solat zohor secara berjemaah di masjid itu pada 24 Mac lalu.

"Sejam selepas solat zohor dia mengaji dan terus pengsan, tak tahulah sakit jantung atau apa. "Tetapi tak sampai 1 minit dia dah hilang (meninggal dunia)," katanya kepada detikSulsel.

Menurutnya, Abdul Rasyid dikenali sebagai seorang yang mempunyai semangat juang tinggi dalam membaca al-Quran, malah pada hari kejadian dia dijadualkan menyertai pertandingan tadarus.

"Dia mengambil bahagian dalam pertandingan itu kerana dia mempunyai semangat yang tinggi untuk membaca al-Quran.

"Jadi, mungkin Allah menjemputnya husnul khatimah," katanya.

Katanya, jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke pusat pengebumian yang terletak tidak jauh dari masjid.

"Kira-kira 11 malam dia terus dibawa menaiki ambulans ke Soppeng sebelum dikebumikan selepas solat zohor pada Isnin (25 Mac lalu)," katanya.

Nawadir berkata, pihak pengurusan Masjid Nurul Ilmi juga akan memberikan pampasan kepada keluarga Allahyarham, namun jumlahnya tidak diperincikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 11:51 AM