GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AL-FIQH

1. Berapakah syarat sah solat?

Syarat sah solat ada sembilan selain daripada Islam yang menjadi syarat utamanya iaitu:

1. Berakal.

2. Masuk waktu dengan yakin.

3. Menghadap kiblat.

4. Menutup aurat.

5. Tahu cara-cara mengerjakan solat.

6. Suci daripada hadas kecil mahupun hadas besar.

7. Suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat solat.

8. Meninggalkan berkata-kata yang bukan daripada al-Quran, zikir dan doa.

9. Meninggalkan makan dan minum.

2. Apabila bertembung antara solat sunat tahiyatul masjid dan menjawab seruan azan, adakah kita dituntut menjawab seruan azan terlebih dahulu dan selepas itu barulah mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid?

Bolehkah terus mengerjakan solat sunat itu tanpa perlu menjawab azan?

Seseorang hendaklah mendahulukan solat sunat tahiyatul masjid.

Ada pendapat mengatakan, sekiranya menunggu agak lama pada uruf semata-mata untuk menjawab seruan azan, maka akan luput baginya solat sunat tahiyatul masjid itu berpandukan hadis Nabi SAW yang menyebut: “Sesiapa yang masuk ke dalam masjid hendaklah dia segera mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat.”

Bagaimanapun, menjadi amalan kebanyakan orang kita masa kini, mereka lebih suka berdiri lama semata-mata untuk menjawab seruan muazin dan selepas itu barulah mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid.

3. Ketika seseorang sedang membaca al-Quran, namun pada pertengahan ayat dia mendengar laungan azan, adakah dia perlu memberhentikan bacaan serta-merta untuk menjawab seruan azan itu atau meneruskan bacaan?

Sunat bagi seorang memberhentikan bacaannya serta-merta sebaik mendengar azan bagi membolehkannya menjawab azan.

Sekiranya ayat yang dibaca itu panjang, dibimbangi akan luput jawapan azan berkenaan.

Apa yang lebih afdal adalah berhenti pada akhir ayat dan menjawab rangkap azan yang didengarinya.

4. Seseorang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang agak kuat sehingga suaranya mengganggu ketenteraman orang lain.

Adakah wajib bagi seseorang memberitahunya supaya merendahkan suara?

Perbuatan meninggikan suara ketika berada di dalam masjid tidak kira sama ada bertujuan membaca al-Quran, berzikir atau berdoa sehingga mengganggu orang lain yang sedang beribadat di dalam masjid adalah dilarang.

Hukumnya makruh dan sepatutnya perbuatan seperti itu perlu ditegur.

Sumber: Furu' al-Masa'il Wa Usul al-Wasa'il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 11:37 AM