MAT Jusoh (gambar kecil) dirakam sedang bertadarus di masjid di Kampung Pauh Panji sebelum rebah lalu meninggal dunia. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MAT Jusoh (gambar kecil) dirakam sedang bertadarus di masjid di Kampung Pauh Panji sebelum rebah lalu meninggal dunia. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


BEKAS pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat meninggal dunia ketika bertadarus di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Kampung Pauh Panji, malam tadi.

Mat Jusoh Harun, 65, dikatakan sedang membaca ayat suci al-Quran sebelum tersembam, namun masih mampu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafas terakhir jam 10 malam.

Isteri arwah, Wan Hasnah Wan Mohd Nor, 63, berkata dia diberitahu seorang saksi, arwah suami sempat mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali sebelum tidak bergerak lagi.

“Saya dimaklumkan arwah ketika itu masih mempunyai nadi tetapi terlalu lemah sementara ada jemaah menghubungi ambulans.

“Ketika itu saya berada di rumah dan dihubungi rakan suami meminta datang ke masjid kerana suami tidak sedarkan diri.

“Saya meminta supaya mereka membawa suami ke hospital, namun menyuruh saya datang sendiri ke masjid melihat keadaan suami dan ketika itu sudah berasa tidak sedap hati sebelum segera bergegas ke masjid terletak tidak jauh dari rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Wan Hasnah berkata, ketika tiba di masjid dia melihat kedua belah kaki suaminya sudah diikat dan pihak hospital ada bertanya sama ada mahu membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tapi mungkin menyebabkan tulang mangsa patah.

Ini menyebabkan Wan Hasnah tidak mengizinkannya dan reda jika ajal suaminya setakat itu.

“Arwah seolah sudah tahu akan dijemput (Ilahi) kerana saya dimaklumkan dia meminta untuk membaca (al-Quran) dahulu sedangkan gilirannya belum tiba lagi.

“Suami juga tidak mengalami sebarang penyakit tapi pernah mengadu rasa sakit di bahagian jantung tetapi tidak mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh Panji selepas solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 2:54 PM