PENDUDUK Palestin memangku bayinya ketika duduk di padang pasir berhampiran khemah perlindungan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin memangku bayinya ketika duduk di padang pasir berhampiran khemah perlindungan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Penilaian keselamatan makanan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran separuh daripada penduduk Gaza mengalami 'malapetaka' kelaparan, dengan kebuluran dijangka melanda utara wilayah itu menjelang Mei, melainkan ada campur tangan segera.

"Orang di Gaza mati kelaparan sekarang. Krisis kelaparan dan kekurangan zat makanan melanda Gaza adalah menakutkan," kata ketua Program Makanan Sedunia (WFP) PBB, Cindy McCain

Perkongsian Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) pada Isnin menganggarkan bahawa 1.1 juta orang iaitu separuh daripada penduduk Gaza, menurut data PBB, menghadapi keadaan bencana.

"Memiliki 50 peratus daripada keseluruhan penduduk dalam tahap bencana, hampir kebuluran, tidak pernah berlaku sebelum ini," kata, Timbalan Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, Beth Bechdol kepada AFP.

WFP berkata, ini adalah bilangan tertinggi individu mengalami kebuluran bencana pernah direkodkan di bawah sistem IPC, yang pada asalnya dibangunkan pada 2004.

Keadaan itu amat teruk di utara Gaza dengan PBB mengatakan terdapat kira-kira 300,000 orang dan IPC memaklumkan kebuluran sudah hampir berlaku pada bila-bila masa antara pertengahan Mac dan Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths menyeru Israel untuk membenarkan akses tanpa halangan untuk bantuan ke wilayah Palestin yang terkepung.

"Masyarakat antarabangsa harus menundukkan kepala kerana malu dan gagal menghentikan perkara ini," katanya.

Jurucakap Jabatan Negara AS Vedant Patel berkata, penemuan itu membimbangkan dan mendedahkan gambaran menyayat hati mengenai kanak-kanak kanak yang kelaparan.

"Sebab itu kami sangat percaya bahawa segala-galanya mesti dilakukan untuk meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan," katanya.

Perang Gaza paling berdarah berlaku selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober.

Sejak itu, Israel bertindak balas dengan kempen pengeboman tanpa henti dan serangan darat di wilayah Palestin yang dikendalikan Hamas.

Agensi bantuan melaporkan kesukaran besar untuk mendapatkan akses ke Gaza, terutamanya di utara dan PBB memberi amaran selama berminggu-minggu, bahawa kebuluran akan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 11:14 AM