FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Seorang ibu yang mengandungkan anak luar nikah bukan sahaja tergamak membunuh bayi yang baru dilahirkannya dengan melemaskannya, malah menyorokkan pula jasad bayi malang itu ke dalam termos nasi.

Kompas melaporkan, kejadian Rabu minggu lalu dilaporkan di Samarinda, Kalimantan Timur, membabitkan wanita dikenali sebagai Avi, 22.

Avi menjelaskan dia bertindak demikian bagi mengelakkan kehamilan luar nikah itu diketahui keluarganya.

Katanya, dia melahirkan bayinya sendirian, jam 10.30 malam.

"Namun ketika bertinggung di tandas untuk membuang air kecil, tiba-tiba bayi saya lahir.

"Saya panik kerana kepala bayi hampir berada di lubang tandas. Pada saat itu, bayi itu tidak bersuara tetapi bergerak.

"Kemudian saya mengambil seluruh tubuh bayi itu dan menyelamkannya ke dalam gayung berisi air hingga tidak bergerak. Kemudian saya membungkus mayat bayi itu dengan plastik hitam dan memasukkannya ke dalam termos nasi berukuran 30 liter," katanya.

Keterangan Avi itu direkodkan oleh polis yang kemudian dimaklumkan kepada media oleh Ketua Polis Daerah Samarinda, Komisioner Polis Ary Fadli.

Avi mengakui bahawa selepas meletakkan di dalam termos nasi, dia berniat untuk menguburkan jasad bayi yang baru dilahirkannya itu.

"Tetapi sebab saya pening, saya terus tidur. Saya bercadang nak kuburkan bayi itu pagi esoknya.

"Seminggu sebelum bersalin, saya berasa sakit di bahagian perut. Menyedari kehamilan, saya memang kerap membaca artikel mengenai tanda-tanda ibu hamil hendak bersalin.

"Disebabkan saya tidak pernah pergi berjumpa doktor, malam kelahiran itu saya fikir saya hanya mahu buang air besar tetapi ternyata saya bersalin," katanya.

Selepas bersalin, dia mengalami pendarahan, namun menipu ibunya dengan memberitahu bahawa dia datang haid.

Bagaimanapun, Avi pengsan dan keluarganya segera membawanya ke hospital.

"Apabila saya sedarkan diri, saya sudah berada di hospital. Keesokan harinya saya terus ditahan polis," katanya.

Sementara itu, doktor yang memeriksanya mendapati anomali kerana terdapat koyakan di kawasan sensitif Avi.

"Setelah pemeriksaan lebih terperinci, pihak hospital menemukan tali pusat bayi yang belum keluar dari kemaluan pesakit (Avi)," kata Ary.

Menurut Ary, selepas didekati dan ditanya lanjut, Avi akhirnya mengakui dia baru sahaja melahirkan bayi lelaki secara normal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 12:52 PM