Elisya dan suami
Elisya dan suami
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Suami kena memandu dari Kuala Lumpur ke Seberang Jaya, Pulau Pinang semata-mana untuk bawa saya makan Nasi Daging Merah," kata pelakon Elisya Sandha yang mengidam makanan itu.

Elisya, 23, yang dijangka bersalin bayi perempuan pada 16 Jun ini berkata, dia mula mengidam makanan itu ketika menjayakan penggambaran drama Ratu Tenpin 2.

"Saya mengalami alahan muntah-muntah pada fasa pertama kehamilan. Selera makan semua pergi pada suami. Cuma, saya mengidam nak makan Nasi Daging Merah di Seberang Jaya. Tapi, masa tu tak boleh bawa lagi sebab semua terbabit dengan penggambaran.

"Habis saja penggambaran, suami bawa ke sana dan bermalam. Kami ke sana semata-mata nak tunaikan permintaan saya. Nasib baik suami memahami. Alahan lain macam tak boleh hidu bau suami dan sebagainya tidak ada," katanya.

Sementara itu, suami Elisya juga anak kepada penerbit dan pelakon, Sheila Rusly Uzair Haqimy, 26, berkata, antara pesanan daripada bapanya adalah dia kena berada di sisi isteri ketika bersalin.

"Satu pesanan papa pada saya adalah kena berada dalam bilik bersalin, teman dan tengok isteri bersalin. Selain itu, dia ingatkan mengenai tanggungjawab. Dalam rezeki kita ada rezeki anak. Sekali gus menghalang kita buat perkara yang bukan-bukan atau terlarang. Itu yang papa dan mama ingatkan," katanya.

Elisya dan Haq berkahwin pada 21 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 1:42 PM